Sakit dan lenguh tengkuk, mata berair atau berasa penat mungkin dianggap perkara biasa oleh kebanyakan kita dengan ada yang sekadar menyapu "minyak angin” di tengkuk sambil memicit-micit.
Namun, menurut pakar, rasa sakit dan tidak selesa pada tengkuk serta mata yang dialami itu mungkin gejala awal sindrom text neck akibat menunduk terlalu lama menghadap skrin telefon pintar atau komputer, yang seterusnya berisiko menyebabkan kecederaan pada struktur tulang belakang.
Text neck merupakan penyakit zaman digital dengan peningkatan kian ketara di negara ini, melibatkan khususnya golongan pelajar dan pekerja kolar putih yang menghabiskan banyak masa di depan peranti seperti telefon pintar dan komputer.
Azlan (bukan nama sebenar), 34 tahun, seorang eksekutif teknologi maklumat di ibu negara, antara penghidap masalah itu yang kini perlu menjalani fisioterapi secara mingguan.
“Mula-mula cuma rasa lenguh di tengkuk, tapi lama-kelamaan saya tidak boleh menoleh ke kiri tanpa rasa sakit. Rupanya postur kerja saya punca utama,” jelasnya yang menghabiskan masa lebih sembilan jam sehari di depan skrin komputer, tidak termasuk masa dengan telefon pintar selepas waktu pejabat.
Menurut pakar, apabila seseorang menundukkan kepala hingga 40 darjah, beban pada tulang belakang boleh meningkat enam kali ganda kepada 12 kilogram berbanding berat purata kepala iaitu dua kilogram, dan tekanan berterusan ini memberi kesan kepada otot, ligamen serta cakera tulang belakang.
KENAL PASTI RISIKO, IKTIRAF SINDROM
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Singapura telah mengklasifikasikan sindrom text neck sebagai satu bentuk epidemik kesihatan moden. Di Singapura misalnya, kajian mendapati lebih 70 peratus pelajar universiti dan hampir dua pertiga golongan pekerja pejabat mengalami simptom yang dikaitkan dengan sindrom itu. Namun, di Malaysia kesedaran masih rendah dan data rasmi masih belum dikumpulkan secara menyeluruh walaupun peningkatan kes sudah ketara di hospital.
pic-2
Pakar ergonomik Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Raemy Md Zein berkata masalah ketegangan otot, kebas serta sakit leher dan tulang belakang antara yang kian kerap disuarakan oleh para pekerja kolar putih ketika sesi latihan dan audit yang dijalankan oleh NIOSH.
Walaupun kekurangan statistik rasmi bagi text neck, pemerhatian lapangan NIOSH jelas menunjukkan peningkatan mendadak masalah itu ada kaitan dengan postur statik yang berpanjangan, khususnya dalam kalangan pekerja digital, pelajar dan penstrim (streamer).
“Tahap kesedaran masyarakat, terutama golongan muda, akan risiko jangka panjang akibat tabiat duduk lama dan postur leher yang salah masih rendah,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Di sebalik peningkatan kes, Raemy berkata Malaysia jelas belum mempunyai persiapan yang cukup bagi menghadapi masalah tersebut termasuk dari segi pengiktirafan text neck sebagai penyakit pekerjaan.
Beliau berkata buat masa ini masalah tersebut diliputi di bawah kategori penyakit otot rangka yang termaktub dalam Jadual Kelima, Bahagian 10, Akta Keselamatan Sosial 1969.
“Bukan itu sahaja, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, senarai penyakit yang diiktiraf dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penyakit Pekerjaan yang Diwartakan) 2022 (NADOPOD) juga masih terlalu terhad dan belum mencerminkan cabaran kesihatan pekerja digital.
“NADOPOD di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), dan berfungsi sebagai panduan rasmi pengesahan penyakit pekerjaan. Namun, buat masa ini belum merangkumi gangguan postur digital seperti text neck,” jelasnya.
pic-3
Menurut beliau, tanpa pengiktirafan rasmi, ribuan pekerja digital dan ekonomi gig yang mengalami masalah sedemikian tidak mendapat perlindungan sewajarnya.
“Ini adalah satu kelemahan sistem yang mendesak tindakan segera. NIOSH berpendapat sudah tiba masanya senarai penyakit pekerjaan dikaji semula dan dikemas kini untuk memasukkan gangguan ergonomik seperti text neck yang kini semakin meruncing,” katanya.
Menurut beliau, bagi tujuan itu, NIOSH sedang merangka beberapa cadangan untuk dikemukakan kepada pihak berwajib bagi memperluas skop penyakit pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial.
GARIS PANDUAN PENTAKSIRAN RISIKO ERGONOMIK
Sedar usaha pengiktirafan gangguan otot rangka berkaitan pekerjaan digital itu mungkin mengambil masa, Raemy berkata sehubungan itu pencegahan awal menjadi sangat penting untuk mengurus risiko tersebut sebelum menjadi masalah kesihatan serius.
Dalam konteks itu, beliau berkata Garis Panduan Pentaksiran Risiko Ergonomik di Tempat Kerja 2017 yang diterbitkan oleh JKKP boleh memainkan peranan kritikal. Garis panduan itu menyediakan panduan praktikal bagi organisasi untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko ergonomik secara sistematik di tempat kerja.
“NIOSH menyokong pelaksanaan garis panduan ini dengan memperkenalkan program latihan seperti Ergonomics Trained Person (ETP) dan inisiatif Simplified Ergonomics Risk Assessment (SERA). Program ETP direka khas untuk melatih individu menjalankan penilaian risiko ergonomik di tempat kerja masing-masing.
“Latihan ETP ini bukan sahaja melahirkan individu terlatih dalam bidang ergonomik, tetapi juga membantu organisasi mematuhi kehendak undang-undang serta meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekerja,” kata beliau.
Kursus ETP juga merupakan syarat utama bagi mereka yang ingin disenaraikan sebagai Orang Terlatih Ergonomik di laman rasmi JKKP.
pic-4
Sementara itu, program SERA pula biasanya disasarkan kepada syarikat kecil dan sederhana yang kurang pendedahan tentang isu ergonomik, terutama berkaitan tuntutan kecederaan kerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Tambahnya lagi, SERA merupakan intervensi awal yang amat penting untuk membantu majikan mengenal pasti risiko ergonomik dengan mudah dan praktikal.
Beliau turut yakin melalui latihan dan penilaian risiko ergonomik, organisasi dapat mengurangkan kecederaan serta melindungi pekerja.
Selain itu, beliau juga menyarankan pekerja mengamalkan susun atur tempat kerja yang ergonomik serta mengambil rehat mikro setiap 30 hingga 60 minit. Penggunaan peralatan sokongan seperti kerusi yang sesuai, pelaras skrin dan rehat mata melalui kaedah peraturan “20-20-20” juga sangat digalakkan.
“Skrin komputer perlu diletakkan setinggi paras mata, kerusi harus ada sokongan lumbar dan papan kekunci diletakkan selaras dengan siku,” nasihat beliau.
REALITI KLINIKAL DAN TREND PENINGKATAN PESAKIT MUDA
Berdasarkan realiti klinikal pula, trend peningkatan pesakit muda yang mengalami simptom text neck diakui cukup membimbangkan.
Mengambil contoh kes yang dikendalikannya, pakar perunding ortopedik Dr Manmohan Singh berkata beliau kini merawat lebih ramai pesakit muda berbanding dahulu dengan perubahan trend itu dikesan sejak sedekad lalu, selari dengan peningkatan penggunaan peranti digital dalam kalangan remaja dan orang muda.
“Sebelum 2008, saya hampir tidak pernah merawat pesakit dalam usia 20-an dengan sakit leher. Tapi sekarang, pesakit seawal usia 15 tahun pun sudah menunjukkan perubahan (struktur tulang belakang) dalam MRI (pengimejan resonans magnetik),” katanya ketika ditemui Bernama.
Menurut pakar daripada Hospital Columbia Asia Cheras itu, fenomena tersebut yang diakibatkan oleh perubahan gaya hidup drastik, memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan yang belum cukup bersedia menangani kesan jangka panjang gaya hidup digital.
pic-5
Katanya, ramai pesakit sering memandang ringan gejala awal seperti sakit tengkuk, mata berair atau keletihan visual, selain tidak menyedari masalah itu boleh membawa kepada kecederaan struktur tulang belakang yang serius.
Pakar tersebut turut berkongsi kisah seorang pesakit berusia 14 tahun yang pada awalnya hanya mengadu sakit mata, namun selepas pemeriksaan lanjut pesakit disahkan mengalami text neck akibat penggunaan peranti secara berterusan.
Menurutnya, golongan muda biasanya lebih cepat mendapatkan rawatan kerana simptom mengganggu aktiviti harian mereka, manakala kebanyakan orang dewasa yang berkerjaya hanya tampil apabila kesakitan sudah menjejaskan tidur atau kerja harian.
“Kita dapati ramai anggap sakit leher sebagai perkara biasa, biasanya mereka hanya akan tukar bantal atau sapu minyak angin. Tapi apabila MRI dilakukan, kita nampak perubahan ketara pada struktur tulang belakang,” katanya.
Walaupun sesetengah kes mungkin kelihatan serius, beliau menjelaskan majoriti pesakit tidak memerlukan rawatan pembedahan, sebaliknya memadai dengan pendekatan konservatif seperti fisioterapi, senaman pengukuhan otot dan pendidikan postur kerja lebih berkesan.
TANGGUNGJAWAB MAJIKAN
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan majikan memastikan kesihatan postur pekerja diambil berat dengan menyediakan susun atur tempat kerja yang ergonomik.
Peralatan kerja yang tidak sesuai, seperti kerusi tanpa sokongan lumbar atau skrin komputer yang terlalu rendah, secara tidak langsung menyumbang kepada tekanan kronik pada tulang belakang, terutamanya apabila digunakan berterusan tanpa rehat mencukupi. Tekanan fizikal ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah memberi kesan langsung kepada prestasi organisasi, katanya.
Memetik data Health and Safety Executive (HSE) United Kingdom, beliau berkata bagi tempoh 2023/24, negara itu kehilangan 33 juta hari bekerja dengan 7.8 juta berpunca daripada gangguan seperti sakit leher dan belakang.
“Kalau pekerja sering ambil cuti sakit kerana sakit leher, majikan tolonglah jangan anggap ringan. Mungkin susun atur tempat kerja mereka tidak ergonomik. Rujuk doktor sebelum keadaan jadi lebih serius,” nasihatnya lagi.
Dr Manmohan juga menyarankan setiap organisasi melabur dalam peralatan asas seperti meja boleh laras dan kerusi yang menyokong tulang belakang, sambil memastikan skrin komputer berada pada paras mata.
Beliau turut menyarankan agar mereka yang berkenaan meluangkan masa kira-kira minit untuk berdiri dan membuat regangan ringan pada setiap 45 minit dihabiskan di depan skrin.
Langkah kecil ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko kecederaan struktur tulang belakang, malah membina budaya kerja yang lebih sihat dan lestari, katanya yang berpendapat sudah tiba masa untuk majikan melihat "pelaburan” dalam ergonomik sebagai keperluan strategik bagi memastikan tenaga kerja kekal sihat, produktif dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran masa depan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial