KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kebanyakan syarikat Jerman di Malaysia kekal amat yakin dengan persekitaran perniagaan negara ini, menurut Tinjauan World Business Outlook Spring 2025 terkini.
Tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) mendapati 91 peratus daripada syarikat Jerman menilai situasi perniagaan semasa mereka di Malaysia sebagai pada tahap baik atau memuaskan.
Penilaian itu menandakan tahap optimisme yang berterusan walaupun landskap ekonomi global tidak menentu.
Tinjauan dua kali setahun itu adalah sebahagian daripada inisiatif global oleh Dewan Perniagaan Jerman di Luar Negara (AHK) dan dijalankan dari 17 Mac hingga 15 April , 2025, melibatkan 104 responden daripada syarikat ahli MGCC.
“Edisi terbaharu ini mencerminkan daya tahan yang semakin meningkat, dengan 93 peratus daripada responden menjangkakan keadaan perniagaan di Malaysia kekal sama atau bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang -- peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding peratusan pada 2024.
“Lonjakan ini menunjukkan pemulihan sentimen dan keyakinan baharu terhadap kedudukan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang stabil dan menarik,” menurut MGCC dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut tinjauan itu ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan yang berterusan, dan pemulihan ekonomi yang tidak sekata terus mencetuskan ketidaktentuan di seluruh dunia.
Dalam konteks ini, 85 peratus daripada syarikat Jerman di Malaysia berpandangan prospek ekonomi tempatan sebagai stabil atau menggalakkan, walaupun peratusan itu berkurangan sebanyak 12 peratus daripada tahun sebelumnya, menunjukkan jangkaan yang lebih berhati-hati berikutan cabaran global yang berlanjutan.
Pengarah Eksekutif MGCC, Jan Noether berkata hasil tinjauan itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab perniagaan dan logistik strategik di Asia Tenggara, disokong oleh infrastruktur yang stabil, struktur kos yang kompetitif, tenaga kerja mahir dan menguasai pelbagai bahasa, serta hubungan dua hala yang kukuh dengan Jerman dan Kesatuan Eropah.
“Ketika syarikat mencari pasaran yang berdaya tahan dan sedia masa depan untuk berkembang dan melabur, Malaysia terus menonjol sebagai destinasi boleh dipercayai dan menarik bagi syarikat Jerman dalam pelbagai sektor.
“Walaupun landskap global yang kompleks dan sentiasa berubah akibat ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan ketidaktentuan ekonomi namun, syarikat Jerman di Malaysia tetap amat optimistik terhadap prospek jangka masa panjang negara ini,” katanya.
Tinjauan itu turut mendapati wujud kebimbangan terhadap kesan tarif perdagangan terkini Amerika Syarikat, dengan 38 peratus syarikat menjangkakan kesan kecil ke atas operasi tempatan.
Sebanyak 20.4 peratus syarikat pula menjangkakan kesan besar, terutama disebabkan oleh jangkaan peningkatan kos input, perubahan tingkah laku pengguna serta permintaan eksport berkurangan.
“Menariknya, 36 peratus responden pula menjangkakan tarif tersebut tidak akan memberikan kesan, dengan sebahagian daripada mereka berpandangan kemungkinan wujudnya peluang bagi operasi yang berpangkalan di Malaysia yang akan mengisi jurang rantaian bekalan yang sedang berlaku,” menurut tinjauan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial