WILAYAH - SARAWAK > BERITA

23 Kes Ajaran Sesat Dikesan Di Selangor Sejak 2019 - Exco

08/07/2025 11:59 AM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 23 kes berhubung ajaran sesat dikesan dan diambil tindakan penguatkuasaan di negeri ini sejak 2019 hingga 2024, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini. 

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes disabitkan kesalahan, manakala baki 11 lagi sedang melalui proses perbicaraan di Mahkamah Syariah. 

"Antara ajaran sesat yang telah diambil tindakan ialah Syiah, ‘Millah Abraham’, ‘Hizbut Tahrir’, Rasul Melayu dan Tuhan Harun," katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chua Wei Keat (PH-Rawang) yang ingin tahu kes yang pernah berlaku di Selangor serta tindakan yang diambil selain tindakan kerajaan negeri untuk mengawal penyebaran ajaran sesat. 

Mohammad Fahmi berkata antara pendekatan diambil kerajaan negeri bagi mengawal penyebaran ajaran sesat di Selangor adalah menerusi pendekatan intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan kepada ajaran sesat yang dikenal pasti tersebar. 

Beliau berkata maklumat berkaitan hal itu juga disebarkan melalui penerbitan bahan bercetak, serta media elektronik selain sesi khutbah Jumaat turut digunakan bagi memberi kesedaran berkait dengan ajaran sesat.

"Selain itu, kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan di samping melaksanakan proses pemulihan dan bimbingan kepada mereka yang terlibat," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan