WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Khazanah Teroka Perkongsian AI Dengan Dana Kekayaan Berdaulat Perancis, Itali

08/07/2025 12:13 PM

 

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd telah mengadakan beberapa siri pertemuan yang produktif dengan dana kekayaan berdaulat Perancis dan Itali untuk meneroka kerjasama rentas sempadan khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata perbincangan itu tertumpu kepada bagaimana syarikat-syarikat Malaysia, Perancis dan Itali boleh bekerjasama di tengah-tengah perubahan dinamik geopolitik global.

“Kita sedang melihat bagaimana boleh bekerjasama (dengan mereka) apabila ia berkaitan dengan inovasi teknologi, malah mereka ada beberapa syarikat pertengahan dan kita juga ada syarikat yang sama dan melihat bagaimana kita boleh bekerjasama lebih jauh.

“Kita menyedari bahawa kita menghadapi isu yang sama: bagaimana untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global dengan menggunakan kecerdasan buatan dan inovasi, dan bagaimana untuk meneroka pasaran baharu,” katanya kepada pemberita di Brazil di akhir lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil.

Khazanah merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi itu yang bermula pada 1 Julai dan bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dan merangsang kerjasama perdagangan dan ekonomi.

Syarikat-syarikat utama Malaysia yang menyertai delegasi itu termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malayan Banking Bhd (Maybank), FGV Holdings Bhd dan YTL Power International Bhd.

Amirul Feisal berkata Khazanah telah menjalin kerjasama dengan Cassa Depositi e Prestiti, institusi promosi Itali sejak dua tahun lalu dan dengan Bpifrance, yang dikenali sebagai Banque Publique d’Investissement sejak tiga tahun lalu.

Lawatan ke Rom, Paris dan Rio de Janeiro itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rakan-rakan ekonomi utama. Secara keseluruhan, perdagangan dua hala dengan Itali, Perancis dan Brazil berjumlah RM50.91 bilion (US$11.14 bilion) pada tahun lalu.

Khazanah mencatatkan pulangan tahunan tertinggi dalam sejarah pada 2024, dengan kadar pulangan berwajaran masa (TWRR) nilai aset bersih (NAV) sebanyak 24.6 peratus, peningkatan ketara berbanding 5.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Jumlah portfolionya, atau nilai aset boleh direalisasi (RAV) meningkat kepada RM151.3 bilion, manakala keuntungan operasi mencecah RM5.1 bilion.

--  BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan