WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tindakan Buang Kerja Jika Terlibat Aktiviti Penyeludupan, Salah Guna Kuasa - Mohd Shuhaily

08/07/2025 05:20 PM

SEPANG, 8 Julai (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal mengambil tindakan lebih serius termasuk buang kerja terhadap pegawai atau anggotanya yang didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau salah guna kuasa.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkara itu merupakan antara cadangan yang akan dikemukakannya sebagai sebahagian daripada langkah untuk memperkukuh operasi di pintu masuk dan sempadan negara.

Beliau berkata anggota dan pegawai AKPS perlu memiliki integriti tinggi kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan bidang kuasa yang besar di pintu masuk negara.

“Apa yang saya tekankan agak sedikit serius dalam memastikan budaya integriti diutamakan kerana apabila kita menggabungkan banyak tugasan, sudah tentu kuasa itu semakin luas. 

“Semakin luas kuasa seseorang itu, maka (makin) terbuka ruang dan peluang yang tidak sihat.  Saya mungkin mencadangkan beberapa prosedur pengambilan (petugas) selain penamatan kerja yang lebih serius sekiranya seseorang itu didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Beliau berkata AKPS akan meneliti beberapa prosedur operasi standard (SOP) serta pengenalan fasiliti baharu bagi memastikan operasi di semua pintu masuk negara  diperkemaskan serta berada di tahap tertinggi.

“Adalah tanggungjawab saya untuk memastikan kemudahan (di pintu masuk negara) berada pada tahap imej (peringkat) antarabangsa seperti yang ingin dipaparkan kerajaan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata bagi fasa pertama, AKPS dipertanggungjawabkan untuk mengawal di 22 pintu masuk negara selaras Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860).

“Pada masa ini, fokus saya untuk memperkuatkan tempat yang diwartakan, kemudian baru kita kembangkan kepada ruang lingkup kerja risikan dan pencegahan yang memberi kuasa di luar tempat yang diwartakan,” katanya.

AKPS berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di semua pintu masuk negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan