WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tarif Trump Terhadap ASEAN Mungkin Pacu Perdagangan Dengan China, India – Pakar

09/07/2025 09:44 AM

MOSCOW, 9 Julai (Bernama-RIA Novosti) -- Tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas import dari negara anggota ASEAN dijangka mengukuhkan hubungan perdagangan rantau itu dengan negara lain seperti China dan India, sekali gus menjejaskan kredibiliti Amerika Syarikat sebagai rakan ekonomi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara, menurut seorang pakar.

Dalam temu bual bersama agensi berita RIA Novosti, pensyarah Perhubungan Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia di Universiti Malaya, Profesor Madya Khoo Ying Hooi berkata langkah terbaru Washington itu hanya akan mempercepatkan usaha ASEAN mempelbagaikan rakan dagang.

Pada Isnin, Trump memulakan penghantaran surat perdagangan kepada negara luar, yang memperincikan kadar tarif ke atas import ke Amerika Syarikat.

Bagi negara ASEAN, Indonesia dikenakan tarif sebanyak 32 peratus, Thailand dan Kemboja masing-masing 36 peratus, manakala Malaysia dikenakan tarif 25 peratus.

Tarif tertinggi, iaitu 40 peratus dikenakan ke atas Laos dan Myanmar.

“Dalam banyak aspek, proses mengorientasikan semula eksport ASEAN ke negara selain Amerika Syarikat telah pun bermula.

“Kita sudah melihat negara-negara ASEAN memperkukuh hubungan dagang menerusi perjanjian pelbagai hala seperti RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) dan CPTPP (Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik),” kata Khoo.

Menurut beliau, China berkemungkinan besar akan muncul sebagai destinasi utama eksport ASEAN yang terkesan akibat tarif berkenaan, walaupun ia membawa implikasi geopolitik tersendiri.

India juga dijangka menjadi pilihan alternatif berikutan saiz pasaran yang besar serta cita-cita serantaunya.

Strategi perdagangan ASEAN sejak sekian lama menekankan kepelbagaian dan pengimbangan, dan langkah tarif ini hanya akan mempercepatkan lagi trend itu.

“Dalam jangka panjang, tarif ini mungkin melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di rantau ini dengan mendorong ASEAN untuk lebih cenderung kepada kutub ekonomi lain.

“Ia akan merenggangkan hubungan ekonomi AS-ASEAN dan mungkin membawa Asia Tenggara lebih dekat dengan China dan rakan alternatif lain.

“Dalam jangka panjang, Amerika Syarikat berisiko kehilangan kredibiliti sebagai rakan ekonomi yang stabil dan boleh dijangka di rantau ini,” katanya.

Pada masa yang sama, meskipun sidang kemuncak ASEAN di Malaysia mungkin menyediakan ruang perbincangan tertutup, sebarang rundingan semula pada tahap ini adalah tidak mungkin, kerana “tarif Trump sering didorong oleh politik dan bertujuan memenuhi kehendak pengundi domestik,” kata Khoo.

Beliau berpendapat bahawa Trump memiliki “sedikit insentif” untuk mengubah dasar perdagangannya melainkan jika dipengaruhi oleh ahli-ahli perundangan atau perniagaan domestik.

“Negara seperti Malaysia, Vietnam dan Thailand yang mempunyai dialog strategik dengan Amerika Syarikat mungkin akan menggunakan pertemuan dua hala di luar sidang untuk menyuarakan kebimbangan dan mendapatkan penjelasan.

“Namun ASEAN sebagai sebuah blok tidak mempunyai pengaruh besar terhadap dasar perdagangan AS, terutama di bawah pentadbiran yang lebih cenderung kepada tindakan unilateral berbanding rundingan pelbagai hala,” katanya.

Sejak kembali ke Rumah Putih, Trump memperketat dasar perdagangannya — mengenakan tarif import dari Mexico dan Kanada, menaikkan tarif ke atas China, serta mengumumkan tarif baharu ke atas keluli, aluminium dan kenderaan.

Kemuncak dasar ini berlaku pada 2 April apabila beliau mengumumkan kadar asas import sebanyak 10 peratus dan tarif timbal balik yang lebih tinggi terhadap negara tertentu.

Namun, seminggu kemudian kenaikan tarif ditangguhkan dan Amerika Syarikat memulakan rundingan perdagangan dengan beberapa rakan dagang.

Pada Selasa, Trump mengumumkan lanjutan penangguhan tarif sehingga 1 Ogos.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan