WILAYAH - TENGAH > BERITA

Tarif AS Jadi Perbicangan Utama Dalam Kalangan Pemimpin Serantau Di AMM Ke-58

12/07/2025 04:57 PM

 

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Ketika ketegangan perdagangan global terus meningkat, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan mengakhiri rundingan empat harinya di Kuala Lumpur pada Jumaat, 11 Julai dengan kenaikan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) menjadi perbincangan utama dalam kalangan pemimpin serantau.

Mesyuarat menghimpunkan menteri luar, dialog dan rakan kongsi sektor dan pemimpin serantau yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 menjadi forum untuk mengukur semula diplomasi ekonomi ASEAN dalam persekitaran peralihan realiti perdagangan global.

Sehari sebelum mesyuarat tahunan bermula pada 8 Julai, Presiden AS Donald Trump terus menggegarkan dunia dengan mengenakan tarif baharu antara 25 peratus hingga 40 peratus ke atas 14 negara termasuk negara anggota ASEAN.

Trump juga mengeluarkan perintah eksekutif untuk melanjutkan penggantungan tarif timbal balik sehingga 1 Ogos.

Dalam kalangan negara ASEAN, beberapa negara menerima tarif lebih rendah daripada yang diumumkan pada awalnya pada 2 April, kadar Vietnam dikurangkan kepada 20 peratus daripada 46 peratus; Kemboja turun kepada 36 peratus daripada 49 peratus; Laos menyaksikan penurunan kepada 40 peratus daripada 48 peratus; dan kadar Myanmar disemak kepada 40 peratus daripada 44 peratus.

Sementara itu, AS memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif Indonesia dan Thailand masing-masing pada 32 peratus dan 36 peratus.

Bagaimanapun, AS masih belum mengumumkan keputusan tarif muktamad untuk Filipina (sebelum ini dikenakan sebanyak 17 peratus), Singapura (10 peratus), dan Brunei (24 peratus).

Malaysia sekali lagi terperangkap dalam persaingan antara kuasa besar dunia, dikenakan tarif 25 peratus berkuat kuasa 1 Ogos, disemak semula dan dinaikkan satu peratus berbanding 24 peratus pada April 2025.

Walaupun begitu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan AMM ke-58, mempamerkan nada pragmatik.

"Rubio menyatakan bahawa surat itu adalah umum, tetapi Malaysia masih mempunyai kira-kira sebulan untuk berunding. Beliau juga mengakui bahawa Malaysia adalah rakan dagang utama AS di rantau ini dan akan mempertimbangkan dan membentangkan pandangan kami," kata Anwar selepas bertemu dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio di Parlimen.

Penekanan Anwar untuk mengekalkan dasar luar Malaysia yang neutral dan bebas adalah sama jelas dengan berkata: "Tidak, walaupun AS adalah rakan dagang yang penting, kami juga akan mengukuhkan hubungan kami dengan China, negara ASEAN dan lain-lain negara untuk menjaga kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara".

Bagi ASEAN, mesej itu serupa tetapi lebih strategik kerana Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn mendedahkan bahawa mesyuarat bersama antara menteri luar dan ekonomi ASEAN dirancang menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober untuk menangani tindak balas rantau ini terhadap masalah ekonomi global yang semakin meningkat.

Beliau berkata ASEAN tidak menyimpang daripada komitmennya selama ini terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, terbuka dan berasaskan peraturan yang ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“ASEAN terus meneruskan libat urus dan rundingan membina dengan Amerika Syarikat, walaupun AS adalah rakan kongsi penting, ASEAN juga mengembangkan strategi kepelbagaian perdagangannya termasuk melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China, Jepun, Korea, India, Australia, dan New Zealand,” kata Dr Kao.

Dalam pada itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan sentimen ini, menekankan kepentingan penyelarasan ekonomi dalam ASEAN itu sendiri.

"Sebelum sidang kemuncak ketua negara dan kerajaan, menteri luar dan menteri ekonomi serta perdagangan akan bersidang dalam satu forum, matlamatnya adalah untuk mengeluarkan pelan tindakan komprehensif untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN,” kata Mohamad.

Beliau juga memberi amaran bahawa ASEAN tidak lagi mampu menanggung inersia birokrasi dalam menghadapi ketidaktentuan global.

"Kita perlu lebih cekap kerana dunia telah berubah secara mendadak. Kita tidak mampu menunggu orang lain. Pendekatan terbaik sekarang ialah melalui tindakan ASEAN secara kolektif," tegasnya.

Malah, prospek ekonomi ASEAN kekal kukuh walaupun terdapat kejutan luaran, jumlah perdagangan intra-ASEAN mencecah US$800 bilion pada 2024, manakala jumlah perdagangan rantau itu berjumlah US$3.8 trilion.

ASEAN juga sedang mencapai kemajuan dalam integrasi ekonomi dengan penyelarasan undang-undang sedang dijalankan untuk Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dinaik taraf dan rundingan semakin dipercepatkan untuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.

Kao mengesahkan bahawa kebanyakan proses kerja berkaitan undang-undang pada ACFTA 3.0 telah selesai, pemeteraian dijangka pada Oktober depan.

“Kami sedang mencatat kemajuan di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang kekal sebagai rangka kerja utama bagi perdagangan serantau,” katanya.

Daya tahan dan pembaharuan ini penting seperti dinyatakan Kao, ASEAN juga menghapuskan halangan bukan tarif dan telah menubuhkan Pasukan Petugas Strategi Geoekonomi untuk menyelaraskan tindak balas kepada tekanan luar.

Ini termasuk gangguan seperti tarif dan peralihan jangka panjang dalam susunan ekonomi global, AMM ke-58 menunjukkan bahawa walaupun ASEAN tidak dapat mengawal keputusan kuasa global tetapi blok itu mampu dan harus mengawal hala tuju ekonominya secara kolektif.

Di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", rantau ini telah mula melontakan suaranya (pendapat dan cadangan) bukan hanya sebagai rakan kongsi kepada orang lain tetapi sebagai satu blok yang melakarkan hala tujunya sendiri dengan kejelasan, tujuan dan agenda.

Memetik kata Anwar: ““ASEAN bukan rantau yang boleh diwakili tanpa kita. Kita harus menetapkan haluan sendiri dengan kejelasan dan perpaduan”.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan