WILAYAH - TIMUR > BERITA

Lawatan Ke Brazil Sempena Sidang Kemuncak BRICS Bukan Untuk Bersiar-Siar - PM

12/07/2025 06:52 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan lawatan rasmi beliau ke luar negara termasuk ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS baru-baru ini, sekadar untuk “bersiar-siar”, sebaliknya sebagai usaha penting menjalinkan kerjasama ekonomi global.

Beliau berkata setiap lawatan rasmi yang dilakukan adalah untuk membawa pulangan ekonomi kepada negara, bukan sekadar untuk bersiar-siar seperti yang ditohmah banyak pihak.

“Kita bukan pergi hanya untuk bersiar-siar. Dalam mesyuarat dan perjumpaan, kita guna peluang dan ruang untuk menemui (pemimpin dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama),” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di sini hari ini. 

Menteri Kewangan itu berkata kerjasama strategik antara Malaysia dan Brazil telah memberi manfaat besar kepada Malaysia, termasuk apabila Petronas diberi akses kepada pelantar minyak terbesar di negara itu.

Mengenai kekerapan beliau dan beberapa menteri menghadiri pelbagai mesyuarat dan rundingan ASEAN akhir-akhir ini pula, Anwar berkata ia bukan sekadar simbolik sebaliknya telah membuahkan hasil konkrit termasuk berjaya menjadikan Terengganu sebagai pusat tenaga baru hidrogen hijau.

Beliau berkata projek di Tasik Kenyir itu sangat signifikan, kerana seiring dengan agenda besar rantau ini yang mahu melaksanakan Grid Tenaga ASEAN, yang bakal menyaksikan ketersambungan tenaga elektrik rentas sempadan dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura melalui kabel dasar laut.

“Penghasilan tenaga ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama ASEAN, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, dan ini sudah tentu akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai negara yang mempunyai kekuatan untuk memperkenalkan dan menjana kuasa tenaga besar di rantau ini,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata dengan ledakan penubuhan pusat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan kapasiti tenaga dan air yang jauh lebih besar berbanding industri biasa, adalah penting untuk Malaysia turut sama-sama menjayakan projek pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kedudukan Malaysia semakin dihormati di persada antarabangsa, dengan penyertaan luar biasa negara-negara besar dalam mesyuarat ASEAN baru-baru ini, yang menunjukkan keyakinan terhadap kestabilan dan potensi ekonomi negara.

Anwar berkata walaupun mesyuarat ASEAN melibatkan 10 negara anggota termasuk Timor Leste, namun kehadiran kuasa besar seperti Jepun, Amerika Syarikat, Rusia, dan Turkiye membuktikan sambutan yang amat luar biasa terhadap platform itu.

“Baru-baru ini juga dalam mesyuarat ASEAN yang saya hadiri, bukan sahaja negara China, India, Australia, Jepun dan Korea hadir, tetapi buat pertama kali, Afrika Selatan, Brazil dan Itali akan datang.

“Ini kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara aman, bersatu dan berpotensi besar untuk kerjasama perdagangan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan