WILAYAH - TENGAH > BERITA

MYSA Salur Aset Pertanian RM340,000 Kepada Penduduk Sungai Besar

12/07/2025 06:41 PM

SUNGAI BESAR, 12 Julai (Bernama) -- Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menyalurkan aset pertanian bernilai RM340,000 kepada penduduk Kampung Parit Empat, di sini, menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dalam usaha memperkasa komuniti luar bandar secara bersepadu dan inklusif.

Ketua Pengarah MYSA Datuk Azlikamil Napiah berkata peruntukan berkenaan merangkumi mesin memproses padi serta dron pertanian yang bertujuan meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan hasil pertanian selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Melalui dana yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan, MYSA bersama rakan strategik turut melaksanakan Program Meningkatkan Ekonomi Penduduk Kampung sebagai sumber ekonomi tambahan.

“Antara projek yang dilaksanakan ialah Ternakan Ikan Air Tawar, Tanaman Melon Manis, Pusat Sehenti Tanaman Herba Tradisional dan Lebah Kelulut, Perkhidmatan Dron Pertanian serta Pemprosesan Padi kepada Beras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI MYSA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, di sini hari ini.

Azlikamil berkata MYSA turut akan menaik taraf lima surau di kawasan sekitar kampung berkenaan menerusi Program Menaik Taraf Infrastruktur dan Fasiliti Penduduk Kampung, yang membabitkan Kampung Parit 1 Timur hingga Kampung Parit 4 Timur.

Dalam pada itu, katanya MYSA turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar luar bandar.

“Sempena karnival ini, MYSA dengan kerjasama Makmal Penyelidikan Bahan Tenaga Tinggi, Universiti Teknologi MARA (Hemrel UiTM), menganjurkan Pertandingan Mencipta dan Melancarkan Roket Air serta Roket Pepejal peringkat negeri Selangor.

“Program selama dua hari itu berjaya menarik penyertaan lebih 600 pelajar dan guru dari lebih 80 sekolah rendah dan menengah seluruh negeri,” katanya.

Karnival selama dua hari itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran realiti maya (VR), demonstrasi eksperimen sains, pencerapan matahari, jualan produk tempatan, cantuman pokok pertanian serta Jualan Rahmah Anak Pokok Buah-buahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan