WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke GT World Challenge Asia Di Jepun

13/07/2025 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Litar Fuji Speedway di Jepun bagi menyaksikan perlumbaan siri GT World Challenge Asia, hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Raja Zarith Sofiah bagi memberi sokongan kepada anakanda Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Dalam perlumbaan pertama pusingan Fuji, Tunku Abu Bakar bersama rakan sepasukan Jordan Love (jentera #66) mencatat podium pertama musim ini dengan meraih tempat ketiga.

Sementara Tunku Abdul Rahman (jentera #99) terus mempamerkan pemanduan konsisten bersama rakan sepasukan Ben Green dan meraih tempat kelapan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengikuti perlumbaan dari ibu negara menzahirkan kesyukuran atas kemenangan anakanda bongsu baginda itu. 

“Saya bersyukur Tunku Putera berjaya mendapat keputusan yang baik kali ini dan berharap dia dan abangnya (Tunku Panglima) akan terus memberikan saingan sengit pada perlumbaan kedua esok,” menurut hantaran itu.

Turut berangkat ke perlumbaan hari ini Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain serta Tunku Tun Aminah bersama suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Kedua-dua jentera Corvette Z06 GT3.R pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) itu bakal memulakan perlumbaan kedua esok di barisan hadapan selepas menyambar petak pertama bagi jentera #99 dan kedua (jentera #66) pada pusingan kelayakan pagi ini.

Perlumbaan itu boleh ditonton secara langsung di YouTube GT World www.youtube.com/live bermula 10.15 pagi waktu Malaysia.

 --BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan