WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengurangan Waktu Bekerja Ringankan Beban Petugas, Tingkat Kualiti Perkhidmatan

14/07/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pengurangan waktu bekerja syif daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu bagi lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dapat meringankan beban kerja, seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Pegawai Perubatan Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Muhammad Shahril Amri Shaharani, 32, menyifatkan keputusan itu sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan petugas kesihatan.

“Jika pekerja kesihatan bekerja lebih masa, ditambah pula dengan kekurangan staf, kerja menjadi tidak efektif dan fizikal serta mental petugas menjadi letih,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Muhammad Shahril berkata pengurangan waktu bekerja juga lebih berkesan sekiranya bilangan kakitangan ditambah untuk mengurangkan beban kerja sedia ada.

Menyokong pandangan itu, Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang Muhammad Yusri Kamarudin, 26, berkata langkah ini membantu menyeimbangkan antara tanggungjawab kerja dan kehidupan peribadi.

“Selalu terpaksa bekerja syif berganda bagi menampung beban tugas sedia ada, menyebabkan keletihan fizikal, emosi dan mental,” katanya.

Beliau bersyukur kerana kini mempunyai lebih banyak masa untuk berehat dan menguruskan keluarga berbanding sebelum ini terpaksa bergelut dengan jadual padat, malah makan atau minum juga tidak menentu. 

“Ia dapat memberi sedikit masa kepada kami untuk berehat selepas syif kerja yang biasanya memang tiada masa untuk makan, selain memberi peluang kepada kami menguruskan keluarga serta diri dalam keadaan lebih fleksibel,” katanya.

Sementara itu, Wan Nor Syahida, 28, jururawat di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang berkata beban kerja yang banyak dan tugasan dokumentasi sering menyebabkan mereka keletihan, namun pengurangan waktu bekerja membantu meringankan beban seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Walaupun kerja jururawat hanya tujuh jam setiap syif, ramai terpaksa pulang lewat untuk selesaikan tugasan dan ditambah dengan dokumentasi yang banyak bagi setiap pesakit menyebabkan jururawat keletihan dari segi fizikal, mental serta emosi.

“Sekiranya seorang jururawat terpaksa menjaga lebih 10 pesakit, mereka akan tergesa-gesa menyiapkan tugasan atau melaksanakan pelan rawatan, dan jika ditambah dengan jam bekerja yang panjang ia akan menyebabkan jururawat kepenatan serta menurunkan mutu kerja,” katanya.

Beliau berkata pengurangan waktu bekerja itu memberi peluang kepada jururawat untuk mendapatkan rehat secukupnya dan pulang ke rumah dalam keadaan lebih tenang.

Jururawat HKL, Nora Hashim, 50, pula menyifatkan keputusan kerajaan itu adalah pengumuman yang telah lama dinantikan dan memberikan sinar kepada petugas kesihatan yang terlibat, sekali gus memberi ruang untuk berehat kepada diri sendiri serta bersama keluarga.

“Kami memang sudah biasa datang lebih awal untuk ambil alih laporan dan pulang lewat bagi serah tugas, kadang-kadang lewat lebih sejam. Jadi, keputusan ini mengurangkan tekanan serta membantu kami lebih fokus semasa rawatan,” katanya.

Nora seperti Dr Muhammad Shahril turut berharap bilangan petugas ditambah terutama di kawasan kritikal bagi menjaga kebajikan jururawat serta petugas kesihatan lain.

Pada 11 Julai, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam kepada jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di jabatan kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan kesihatan.

Menurut JPA, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI yang sentiasa mendengar suara rakyat dan menjaga kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang utama sistem kesihatan negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan