KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kadar penggunaan yang berdaya tahan dijangka kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia di sebalik ketegangan perdagangan global serta ketidakpastian geopolitik, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu melalui satu nota hari ini berpendapat penggunaan akan terus berkembang, disokong oleh daya tahan pasaran buruh dengan pekerjaan yang lebih tinggi selain pertumbuhan upah dalam sektor berorientasikan domestik.
Inflasi yang rendah dan stabil termasuk langkah-langkah sasaran fiskal, akan memperkukuhkan kuasa beli pengguna, manakala pemotongan dasar kadar semalaman (OPR) baru-baru ini akan mengurangkan kos pinjaman, ini mampu merangsang minat yang diperbaharui dalam perbelanjaan yang agak besar.
Selain itu, pemulihan aktiviti pelancongan yang berterusan, dipacu oleh peningkatan dalam ketibaan pelancong, akan memberikan daya tambahan kepada perbelanjaan pengguna dan aktiviti ekonomi secara keseluruhan.
"Ini berlaku di sebalik ketegangan perdagangan global yang memuncak, yang dirangsang oleh tarif Amerika Syarikat terbaharu, menimbulkan risiko penurunan kepada keyakinan pengguna dan perniagaan, yang mungkin mengakibatkan corak perbelanjaan yang lebih lemah," katanya.
Pada awal hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengumumkan bahawa perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM154.3 bilion pada Mei 2025 iaitu pertumbuhan 4.4 peratus dari tahun ke tahun, disokong oleh prestasi subsektor perdagangan runcit dan borong.
MIDF Amanah menjangkakan jualan runcit akan mengekalkan momentum pertumbuhannya tahun ini, dengan unjuran pengembangan pada 4.6 peratus pada 2025, walaupun menyederhanakan berbanding pengembangan 2024 iaitu sebanyak 5.4 peratus.
"Pertumbuhan yang berterusan ini akan didorong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan, inflasi yang rendah dan stabil serta pelonggaran dasar monetari baru-baru ini.
"Penurunan kos pinjaman mungkin meningkatkan kuasa pembelian dan akses kepada kredit, menggalakkan perbelanjaan pengguna yang lebih besar," kata MIDF Amanah.
Bagaimanapun, ia memberitahu bahawa ketegangan perdagangan global serta ketidakpastian yang semakin melonjak akan kekal menjadi risiko penurunan yang boleh melesukan sentimen dan perbelanjaan pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial