WILAYAH - TENGAH > BERITA

Lebih 3,000 Pelajar UiTM Sabah Terima Manfaat Dapur HEP

15/07/2025 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Lebih 3,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Kampus Kota Kinabalu menerima manfaat inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (Dapur HEP) yang menyediakan makanan percuma setiap hari kepada penuntut memerlukan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata program kebajikan itu, bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar terutamanya daripada golongan B40, selain membentuk budaya saling membantu antara warga universiti.

“Saya sempat singgah di Dapur HEP UiTM Sabah Kampus Kota Kinabalu, mereka menyediakan kira-kira 60 kilogram beras untuk dimasak setiap hari dan diagihkan kepada lebih 3,000 pelajar.

“Semua persediaan memasak dan membungkus makanan dilakukan sepenuhnya oleh pelajar dan petugas universiti yang biasanya di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya.

Zambry berkata pelaksanaan program itu mendapat sokongan daripada petugas universiti, alumni, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, pihak korporat, dana universiti serta sumbangan pelajar.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada UiTM dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain, yang melaksanakan inisiatif serupa dan menggesa program itu diperluaskan agar tiada pelajar belajar dalam keadaan lapar.

“Kita tidak boleh membiarkan pelajar berdepan kesukaran sehingga tidak mampu makan, apatah lagi jika ia mengganggu tumpuan mereka dalam pengajian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan