ISTANBUL, 15 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Isnin menyambut baik perjanjian baharu antara NATO dan Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran sistem peluru berpandu Patriot serta bantuan ketenteraan lain ke Ukraine, selepas pertemuan beliau dengan Presiden AS, Donald Trump dan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, Zelensky menyifatkan perbualannya dengan Trump sebagai “sangat baik”, sambil memaklumkan bahawa mereka membincangkan usaha “menghentikan pertumpahan darah dan mewujudkan keamanan yang berkekalan serta adil”.
Zelensky berkata Trump turut memaklumkan kepadanya mengenai pertemuan terdahulu dengan Rutte dan menekankan pentingnya peningkatan perbelanjaan pertahanan dalam kalangan negara anggota pakatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami telah meneliti langkah-langkah bagi memperkukuh perlindungan daripada serangan Rusia dan bersetuju untuk menyelaras tindakan bersama ke hadapan,” katanya.
Zelensky turut berbincang dengan Rutte, yang memberi maklumat terkini mengenai perbincangan di Washington dan mengulangi komitmen sokongan NATO terhadap Ukraine.
“Kami menghargai kesediaan untuk menyediakan lebih banyak sistem Patriot. AS, Jerman dan Norway kini sedang bekerjasama dalam hal ini,” katanya, sambil menambah bahawa penghantaran senjata seterusnya dijangka dapat memperkukuh pertahanan Ukraine.
“Rusia mesti dipaksa menghentikan pembunuhan ini. Perang ini hanya berlarutan kerana keinginan Putin untuk meneruskannya.
"Keamanan hanya dapat dicapai menerusi kekuatan,” tegasnya.
Zelensky turut menegaskan keperluan untuk menyekat sumber kewangan perang Rusia serta menamatkan hubungan ketenteraannya dengan Iran dan Korea Utara.
Beliau berkata keputusan bersama sedang dirangka bersama AS, Jerman dan Norway berhubung sistem pertahanan udara Patriot, termasuk perjanjian pertahanan jangka panjang dengan Washington.
Sambil menegaskan komitmen Ukraine terhadap “semua langkah jujur dan berkesan ke arah keamanan berkekalan”, beliau berkata Rusia “belum bersedia” dan perlu berdepan tekanan antarabangsa yang lebih kuat.
Kenyataan Zelensky itu hadir susulan pertemuan Trump dan Rutte di Washington, ketika Presiden AS itu mengugut untuk mengenakan "secondary tariff" sebanyak 100 peratus ke atas Rusia sekiranya tiada perjanjian dicapai bagi menamatkan perang dalam tempoh 50 hari.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial