WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Penuntut Institut Pengajian Tinggi Maut Di  Jalan Gambang

15/07/2025 05:48 PM

KUANTAN, 15 Julai (Bernama) -- Dua penuntut institut pengajian tinggi maut manakala dua petugas kesihatan cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan ambulans, di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Gambang, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi, ketika van ambulans yang membawa pesakit dalam perjalanan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menuju Bukit Rangin.

“Ketika van tersebut membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan siren, sebuah motosikal dari arah Gambang telah melanggar van tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Penunggang motosikal Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya Muhammad Firdaus bin Mohamad Zamri, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Merah HTAA.

“Pemandu ambulans berusia 49 tahun dan pembantunya berumur 43 tahun turut cedera dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Mohd Adli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pihak universiti menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua pelajar dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Allahyarham Muhammad Zuhair Rifqi  dan Muhammad Firdaus  merupakan insan yang berakhlak mulia dan cintakan ilmu agama. Kedua-duanya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad sehingga tingkatan 3 dan berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran,” menurut hantaran itu.

UnIPSAS turut memaklumkan semangat mereka dalam mendalami ilmu Al-Quran diteruskan dalam bidang Diploma Pengajian Quran dan Sunnah dan Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian).

“UnIPSAS turut menyeru warga kampus untuk bersama-sama menyedekahkan al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan arwah,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan