WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala AFF B-23: Malaysia Tewas 0-2 Kepada Filipina Pada Aksi Pembukaan

15/07/2025 10:30 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 15 Julai (Bernama) -- Pasukan bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) tewas 0-2 kepada Filipina pada aksi pembukaan Kumpulan A bagi Piala AFF B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno di sini hari ini.

Skuad muda negara yang menguasai sebahagian besar permainan seawal babak pertama, melancarkan beberapa percubaan ke arah pintu gol termasuk rembatan yang terkena palang pasukan lawan.

Namun, ketumpulan jentera serangan menjadi penghalang apabila beberapa peluang gagal disempurnakan, manakala penjaga gol Filipina turut bertindak cemerlang menafikan deretan percubaan berbahaya pemain negara.

Sebaliknya, Filipina tampil lebih tajam di hadapan pintu gol pasukan negara apabila Otu Bisong membuka jaringan seawal minit ke-9 sebelum menambah gol kedua pada minit ke-40, hasil serangan balas pantas.

Penjaga gol Malaysia turut mempamerkan aksi meyakinkan dengan menyelamatkan gawang bagi mengelak kekalahan lebih besar pasukan yang dibimbing ketua jurulatih Nafuzi Zain, yang dilantik pada 16 Dis tahun lepas.

Masuk babak kedua, Malaysia terus menguasai permainan tetapi buntu mencari jaringan, manakala barisan pertahanan Filipina kekal kental dan berdisiplin, berjaya menyerap tekanan tanpa membenarkan gawang mereka dibolosi.

Malaysia kini perlu bangkit pada aksi kedua Kumpulan A menentang Brunei di stadium sama pada Jumaat.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan