WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Haloje Delivery Akan Dilancar Di Singapura Selepas Pengembangan Ke Indonesia

16/07/2025 01:25 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Julai (Bernama) -- Platform penghantaran berpangkalan di Malaysia, Haloje Delivery akan memasuki pasaran Singapura bulan depan selepas pengembangannya ke Indonesia baru-baru ini, kata Pengasas dan Pengarahnya Jalluddin Abu Hassan.

Platform ini dikendalikan oleh Techzilla Global Solution Sdn Bhd.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada strategi syarikat lebih luas untuk mengukuhkan jejaknya di seluruh Asia Tenggara, status Singapura sebagai hab logistik dan digital menjadikannya pilihan strategik untuk fasa pertumbuhan seterusnya.

"Singapura adalah pasaran matang dan berdaya saing, menjadikannya ideal untuk menguji dan memperhalusi perkhidmatan ditawarkan Haloje Delivery. Kami akan menyesuaikan perkhidmatan mengikut keperluan tempatan, menumpukan pada kecekapan, ketepatan masa dan integrasi teknologi," katanya kepada Bernama.

Jalluddin berkata Haloje Delivery juga bercadang untuk menyasarkan perkhidmatan penghantaran rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura, segmen dilihat kurang mendapat perkhidmatan daripada platform yang lebih besar.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kehadirannya di Indonesia, anak syarikatnya PT Haloje Delivery Indonesia memeterai memorandum persefahaman awal bulan ini dengan Persatuan Ummat Islam, sebuah organisasi mempunyai lebih 20 juta ahli untuk menyokong pembangunan ekonomi digital dalam komuniti tempatan.

Selepas melancarkan operasi pada penghujung 2024 di Bekasi, Jawa Barat, kira-kira 20 kilometer ke timur Jakarta, Haloje Delivery menawarkan perkhidmatan termasuk penghantaran makanan, perkhidmatan kurier, penghantaran ubat, barangan runcit dan tambah nilai kredit prabayar mudah alih.

“Pendekatan kami di Indonesia adalah berasaskan komuniti, bekerja rapat dengan organisasi dan usahawan tempatan untuk memastikan keselarasan dengan keperluan di lapangan,” kata Jalluddin.

Usaha pengembangannya disokong oleh Program Geran Malaysia Digital X-Port, di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertujuan membantu syarikat teknologi Malaysia meningkat secara global.

Jalluddin berkata walaupun operasi di Malaysia telah mencapai keuntungan, ia tetap memberi tumpuan kepada pelaburan semula dalam teknologi, pemasaran dan bakat (pekerja berkemahiran) untuk memacu pengembangan serantaunya.

Beliau berkata syarikat itu melabur RM800,000 di Indonesia dan RM200,000 di Singapura setakat ini, pada masa sama giat mencari pembiayaan tambahan daripada pelabur dan rakan kongsi strategik.

“Kami sedang mencari rakan kongsi yang boleh menawarkan bukan sahaja modal tetapi juga nilai strategik untuk mempercepatkan pertumbuhan kami di seluruh ASEAN,” katanya.

Jalluddin berkata Haloje Delivery menyasarkan untuk menjadi platform penghantaran berasaskan komuniti terkemuka di ASEAN dengan menyediakan perkhidmatan yang cekap, mampu milik, inklusif dan memberi impak sosial.

Indonesia dan Singapura adalah kritikal untuk misi itu, menggabungkan potensi pertumbuhan tinggi dengan kesediaan digital termaju, katanya.

Ditubuhkan pada 2018, Haloje Delivery telah dimuat turun lebih 1.6 juta kali, pada mulanya syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Malaysia sebelum berkembang ke pasaran bandar.

Platform itu kini diiktiraf dengan Status Digital Malaysia dan merupakan rakan kongsi utama dalam program eRezeki MDEC, satu inisiatif nasional bertujuan memperkasakan segmen berpendapatan rendah dengan membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan menerusi pekerjaan digital.

Pekerjaan digital adalah pekerjaan memanfaatkan teknologi digital dan internet.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan