BATU GAJAH, 17 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,221.3 tan aluminium bernilai hampir RM10 juta dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan logam haram di Kawasan Perindustrian Pengkalan 4, Pusing di sini semalam.
Timbalan Komander Briged Utara PGA ACP Shamsul Baharin Aman berkata operasi pada 7.30 malam itu membabitkan anggota Cawangan Risik Batalion 3 PGA bersama Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dan Batalion 1 PGA dibantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak serta Majlis Daerah Batu Gajah.
Beliau berkata premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti memproses aluminium tanpa lesen sah daripada JAS Perak dengan pemeriksaan menemukan sejumlah besar aluminium dan peralatan pemprosesan di premis berkenaan.
"Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun mengaku sebagai pengurus kilang telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Selain aluminium dengan anggaran berat 1,221.3 tan, turut dirampas pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan termasuk sebuah lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11.81 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dan Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Supt Azhar Hashim.
Shamsul Baharin berkata siasatan lanjut mendapati pengusaha telah menjalankan aktiviti menyimpan, memproses dan mengeluarkan bahan-bahan logam di premis berkenaan sejak 2023 dengan bantuan 10 pekerja.
“Setiap produk logam aluminium yang siap akan dieksport ke luar negara melalui ejen yang dilantik. Anggaran keuntungan bulanan yang diperoleh pengusaha ini adalah sebanyak RM20,000,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Ezanni berkata bahan aluminium yang dirampas dipercayai bahan buangan di bawah kod SW 422 iaitu campuran logam dengan buangan pelarut kimia yang dikenali sebagai bahan buangan berjadual yang dilarang sama sekali diproses tanpa lesen yang sah.
Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekenhend 1946 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Undang-Undang Kecil, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial