WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Tidak Boleh Dianggap Entiti Yang Sama - Dr Zaliha

17/07/2025 07:32 PM

LABUAN, 17 Julai (Bernama) -- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak boleh dianggap sebagai entiti yang homogen atau sama, memandangkan ketiga-tiga wilayah itu berdepan cabaran yang sangat berbeza justeru menuntut penyelesaian bersifat setempat dan berfokuskan impak sebenar kepada rakyat.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pendekatan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) terhadap ketiga-tiga wilayah berkenaan tidak boleh disamaratakan.

"Selama ini, Wilayah Persekutuan sering dianggap sebagai satu entiti yang homogen. Namun apabila kita menyentuh soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jelas bahawa ketiga-tiga wilayah ini berdepan cabaran yang sangat berbeza," katanya dalam hantaran Facebooknya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri sesi libat urus pasca Mesyuarat Jemaah Menteri bagi RMK13 bersama Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron dan delegasinya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Menurut Dr Zaliha bagi Kuala Lumpur, jurang pendapatan dalam kalangan penduduk bandar semakin melebar justeru menuntut keseimbangan semula ekosistem pertumbuhan agar tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan.

Bagi Putrajaya pula, beliau menekankan bahawa pusat pentadbiran negara itu perlu terus berperanan sebagai perintis kepada inovasi dasar dan ketelusan dalam tatakelola awam.

Berhubung Labuan, beliau menegaskan bahawa wilayah tersebut memerlukan perhatian lebih strategik.

"Walaupun Labuan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita kedua tertinggi di Malaysia, pulangan hasil kepada rakyatnya masih tidak mencerminkan sumbangan sebenar wilayah itu.

Dr Zaliha berkata Labuan mencatatkan kutipan cukai sekitar RM47 juta berbanding perbelanjaan RM95 juta sekali gus menzahirkan ketidakseimbangan fiskal yang perlu ditangani.

"Tambahan pula, kebergantungan ekonomi tempatan kepada sektor minyak dan gas pula tidak serancak sedekad yang lalu serta memerlukan kita memberi penekanan kepada sektor alternatif seperti sektor pelancongan dan ekonomi biru sebagai pemacu pertumbuhan Labuan yang seterusnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan