Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
ESSEN (Jerman), 17 Julai (Bernama) -- Misi kontinjen Malaysia memburu pingat di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 diteruskan esok dengan tumpuan terarah kepada aksi skuad taekwondo dan renang serta badminton yang bakal membuka tirai.
Atlet taekwondo akan kembali turun ke gelanggang di Messe Essen di sini dalam saingan poomsae berpasukan lelaki sekali gus berpeluang mengubati kekecewaan kem negara susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam acara individu dan berpasangan campuran hari ini.
Trio negara dibarisi Randy Owen Augustine Linggi, Chin Ken Haw dan Jason Loo Jun Wei.
Di Schwimm-Und Sprunghalle Im Europasportpark, Berlin, jaguh renang negara Khiew Hoe Yean dijangka sekali lagi mampu berada dalam kelompok terbaik apabila turun beraksi dalam acara 200m gaya bebas dengan misi memperbaiki kedudukan keempat pada edisi lepas di Chengdu, China.
Sementara itu, skuad badminton negara di bawah bimbingan legenda tanah air Datuk Rashid Sidek bakal membuka kempen mereka di Westenergie Sporthalle di Mulheim an der Ruhr dengan pertemuan menentang Kanada dalam aksi pembukaan peringkat Kumpulan D acara berpasukan campuran.
Kemenangan akan memastikan Malaysia menjuarai kumpulan sekali gus menempah laluan lebih mudah dalam peringkat kalah mati.
Kem badminton negara menyasarkan untuk memperbaiki kutipan dua pingat gangsa yang diraih pada edisi lepas dengan mengintai untuk membawa pulang sebutir perak.
Dalam pada itu, Hoe Yean mencuri tumpuan hari ini apabila layak ke final acara 400m gaya bebas sekali gus mengatasi pencapaian edisi lalu selepas terkandas di peringkat awal.
Berlumba dalam saringan lima, pemegang rekod 400m gaya bebas kebangsaan itu merakam masa 3 minit 50.13 saat (s), di belakang perenang Amerika Syarikat Ryan James Erisman Jr (3:48.81s) dan Nikolai Kolesnikov yang mewakili Atlet Neutral Individu (3:48.75s).
Final dijadual berlangsung malam ini (awal pagi waktu Malaysia).
WUG 2025 yang berlangsung dari 16 hingga 27 Julai menyaksikan 234 pingat emas dipertandingkan merangkumi 19 jenis sukan.
Malaysia, yang menyasarkan tujuh pingat tanpa mengira warna, bertanding dalam enam jenis sukan iaitu gimnastik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo dengan keseluruhan 64 atlet mengambil bahagian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial