BATU KAWAN, 18 Julai (Bernama) -- Hari kedua Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, diteruskan dengan menyajikan pelbagai pengisian yang sarat elemen informatif, kebudayaan pelbagai kaum, warisan dan jati diri nasional.
Hari ini istimewa buat pengunjung cilik menerusi program yang disusun khas untuk mereka termasuk Pertandingan Cef Cilik yang membuka tirai sambutan pagi ini sebelum diteruskan dengan persembahan muzikal Didi & Friends pada sebelah petang.
Selain itu, hari kedua SMP 2025 dirancakkan dengan Demonstrasi Masakan Tradisional Melayu dan Demonstrasi Permainan Tradisional yang menonjolkan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia serta Pertandingan Bintang Idol Perpaduan 2025 dan Battle of the Band yang bakal menjadi platform untuk mengetengahkan bakat baharu dalam seni muzik.
Menjelang malam, SMP 2025 akan menyaksikan Sesi Penyampaian Sijil Rakan Perpaduan bagi menghargai sokongan dan komitmen rakan-rakan strategik yang bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyemarakkan serta mempromosikan sambutan berkenaan.
Sesi penyampaian sijil itu akan disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pada 8 malam ini, diiringi Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Secara keseluruhan, 35 aktiviti menarik terus menanti pengunjung sempena SMP 2025 bermula semalam hingga Ahad ini, termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Bertemakan "Harmoni Dalam Kepelbagaian", SMP 2025 juga dimeriahkan dengan program Food Unites, Jualan MADANI, jualan kraf tangan dan produk usahawan tempatan, termasuk pesta durian, Larian Uniti, sukan tradisional, kejohanan e-sukan, Kembara Ilmu, Pesta Buku Pulau Pinang, Wayang Pacak, Pertandingan Boria Terbuka, Peragaan Busana Tradisional dan Pertandingan Tarian Etnik Sekolah Rendah.
Sempena minggu perpaduan itu juga, pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat disediakan, termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Bagi memudahkan pengunjung merancang perjalanan, sebanyak tujuh bas perantara Rapid Penang disediakan kepada orang awam untuk ke Stadium Batu Kawan, manakala AirAsia Ride turut menawarkan diskaun kepada pengguna yang menuju ke lokasi SMP 2025.
Majlis perasmian sambutan berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial