KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 47 notis kepada peniaga susulan perlaksanaan penyelarasan harga berikutan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap lebih 80 premis di sekitar ibu negara menerusi pelaksanaan Op Kesan 4.0 sejak 1 Julai lepas.
"Notis itu melibatkan 154 barangan bagi tujuan pengumpulan data dan analisis," katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Sepanjang tempoh operasi, pihaknya turut menerima 27 aduan pengguna berkaitan harga barangan termasuk makanan sedia dimakan.
"Bagi aduan yang melibatkan isu harga dan bekalan, siasatan akan dimulakan dalam tempoh 24 jam dan tindakan selanjutnya akan diambil," katanya.
Mohd Sabri berkata pemantauan setakat ini mendapati harga barangan secara keseluruhan masih terkawal meskipun berlaku pelarasan kadar SST.
Bagi memastikan keberkesanan Op Kesan 4.0, KPDN Kuala Lumpur menggerakkan tiga pendekatan utama, iaitu pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan secara harian, penggunaan data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) serta risikan pasaran oleh Bahagian Penguat Kuasa.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah dan bertentangan dengan perundangan pencatutan,” katanya.
Jika sabit kesalahan pencatutan, individu boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda maksimum RM500,000.
Op Kesan 4.0 dilaksanakan bagi memantau perubahan harga barangan dan caj perkhidmatan serta memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar, khususnya melibatkan keperluan harian, serta tidak bertentangan AKHAP 2011.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial