WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahli Perniagaan Bergelar Datuk Ditahan, Tipu Individu Dapatkan Darjah Kebesaran Pahang

21/07/2025 04:17 PM

KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai menipu seorang individu dengan meminta wang RM6,000 bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah di sini untuk memberikan keterangan.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal suspek disyaki telah menawarkan untuk membantu pengadu mendapatkan gelaran Datuk dari negeri Pahang pada  2023, walaupun beliau tidak mempunyai kuasa atau keupayaan untuk berbuat demikian.

"Suspek dipercayai telah mendorong pengadu secara tidak jujur untuk memindahkan wang RM6,000, kononnya bagi pembelian aksesori baju istiadat yang diperlukan untuk mendapatkan darjah kebesaran tersebut," katanya.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan penangkapan itu dan memaklumkan suspek telah dibebaskan dengan jaminan setelah membayar deposit tunai RM5,000 daripada jumlah jaminan RM10,000 yang dikenakan.

Beliau memaklumkan bahawa suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan