PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Sistem MyVISA 2.0 iaitu platform visa digital bersepadu untuk pengurusan visa warga asing yang dilancarkan hari ini, akan mula digunakan 1 Ogos ini.
Sistem berkenaan dilancarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah sempena sambutan Hari Imigresen ke-103 yang bertemakan ‘AI menerajui reformasi Imigresen’ di sini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata MyVISA 2.0 menawarkan pengurusan visa lebih pantas dan cekap dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“(Sistem MyVisa 2.0) mengguna pakai ataupun mengaplikasikan ciri-ciri AI dalam sistem permohonan visa… pemohon tidak perlu lagi ke pejabat (untuk memohon),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan MyVisa 2.0 merupakan penambahbaikan terhadap Sistem MyVISA yang telah diperkenalkan pada 1 Dis 2021.
“Sistem ini dibangunkan semula sebagai satu platform visa digital bersepadu yang menawarkan pengalaman permohonan lebih pantas, selamat dan efisien.
“Ia selaras dengan kehendak rakyat dan pelawat antarabangsa yang mengutamakan kemudahan dalam perkhidmatan awam,” menurut JIM dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, MyVISA 2.0 memperkenalkan pelbagai teknologi terkini seperti pengecaman aksara optik (OCR), notifikasi masa nyata, automasi pintar dan aplikasi mudah alih khusus untuk pemohon.
Ia menawarkan permohonan visa secara digital sepenuhnya daripada imbasan pasport, pemuatan dokumen, temu duga maya, penjejakan masa nyata, kelulusan eVisa dengan kod QR hinggalah kepada bantuan interaktif melalui sembang langsung.
“Pemohon tidak perlu hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial