WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Zahir Penghargaan Kepada Zunar, Hidupkan Seni Tempatan Dalam Keadaan Mencabar

22/07/2025 04:24 PM

SHAH ALAM, 22 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kartunis Zunar atas perjuangan cekalnya menghidupkan industri seni tempatan menerusi penghasilan karya berkisar persekitaran politik negara meskipun berdepan pelbagai cabaran. 

Perdana Menteri berkata karya Zunar disifatkan sebagai keras, disulami kritikan tajam, mengandungi maksud mendalam mengenai isu-isu semasa yang perlu dihayati masyarakat secara kolektif dan mampu memberikan implikasi politik terhadap subjek yang disentuh.

"Lakaran seorang seniman, curahan hatinya berdasarkan keyakinan, oleh kerana bahan (karya) itu bebas, tulus maka risikonya juga besar.

“Beliau (Zunar) berkembang dalam suasana negara yang agak tidak mengizinkan pengucapan seni secara bebas maka beliau juga turut tertekan dengan suasana itu. 

"Anak-anak muda harus tahu bahawa keadaan sudah berubah, kita berikan ruang, tidak semestinya kita setuju, tidak semestinya sesuai dengan selera kita apatah lagi dengan kepentingan sang penguasa, tetapi demikianlah suasana persekitaran yang disebut demokratik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 'Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar' di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini hari ini. 

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai. 

Menyifatkan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque sebagai rakan baik, Anwar berkata jasa pelukis itu perlu dibalas oleh orang ramai dengan menyokong buku baharu kartunis itu yang dilancarkan hari ini, berikutan karyanya sebelum ini sentiasa dicetak semula tanpa kebenaran. 

"Tidak dinafikan bila kartun-kartun itu popular, cuma (sebelum ini) tiada copyright, ia disebar dan dicetak semula sebab itu kita harus bayar balik dengan membeli buku beliau yang dilancarkan hari ini, sebab puluhan tahun dia punya sumbangan semasa era reformasi itu orang tak beli, orang cuma cetak semula,” katanya.  

'Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar' setebal 230 muka surat  mendokumentasikan pelbagai fasa penting dalam karier seni anak kelahiran Kedah itu dari kartun pertamanya di Majalah Bambino, Majalah Gila-Gila, Berita Harian, Harakah, dan MalaysiaKini. 

-- BERNAMA  

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan