WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelaksanaan Sistem Tunggal Optimumkan Kemasukan Pelajar Ke SBP, MRSM

22/07/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan berhasrat mengoptimumkan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah khusus di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), melalui pelaksanaan sistem tunggal penawaran penempatan kepada pelajar mulai tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata melalui sistem berkenaan, setiap pemohon hanya akan menerima satu tawaran penempatan sama ada daripada MRSM, SBP atau sekolah khusus.

“Penyelarasan ini dilakukan bagi mengelakkan pertindihan tawaran dan memastikan setiap tempat diisi oleh pelajar yang benar-benar layak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara MRSM, SBP dan sekolah khusus di bawah KPM, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata sebelum ini, pelajar berpotensi menerima lebih daripada satu tawaran, menyebabkan banyak ruang pembelajaran tidak diisi apabila tawaran ditolak, sekali gus menafikan peluang kepada pelajar lain yang layak.

“Lazimnya di antara 10 hingga 15 peratus (tempat tidak diisi), akan menyebabkan Kementerian Pendidikan dan juga MARA sibuk menerima surat rayuan. 

“Kita tidak dapat untuk menyemak apabila pangkalan data ini tidak diselaraskan tetapi dengan adanya penyelarasan ini, kita mungkin akan lihat jika rayuan diterima pun mungkin jumlah yang tidak signifikan daripada sistem yang sedia ada,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata melalui sistem tunggal, pengagihan penempatan akan lebih adil dan inklusif, khususnya untuk pelajar cemerlang dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, selari dengan dasar keutamaan kepada golongan B40.

“Saya yakin, penyelarasan ini, langkah ke hadapan untuk menyusun semula ekosistem pendidikan berasrama penuh negara agar lebih cekap, berintegriti dan memberi peluang saksama kepada semua anak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dasar sedia ada juga dikekalkan dengan 60 peratus pengambilan pelajar akan melibatkan keluarga B40, dan keutamaan diberikan kepada pemohon dari luar bandar serta kawasan miskin bandar dan ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh mobiliti sosial melalui pendidikan.

Ahmad Zahid berkata pemilihan juga akan menggunakan kaedah Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), dengan platform dalam talian diseragamkan antara MARA dan KPM.

Beliau berkata bagi pelajar sekolah swasta yang tiada dalam sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), permohonan boleh dibuat melalui sistem MyMRSM.

Pada 20 April, Ahmad Zahid berkata sistem kemasukan ke MRSM dan SBP akan diselaras mulai pengambilan Januari tahun hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan