KOTA KINABALU, 24 Julai (Bernama) -- Sabah menjadi negeri pertama melaksanakan program Duta NADI bagi mempromosikan manfaat Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta menyebar luas advokasi literasi digital dalam kalangan komuniti khususnya di kawasan luar bandar.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebanyak 50 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih menyertai program yang kali pertama diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama UMS dan Yayasan Sukarelawan Siswa.
Beliau berkata Duta NADI berperanan membantu MCMC meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber menerusi Kempen Internet Selamat, dengan melibatkan persatuan penduduk dan pelajar sekolah di kawasan mereka bagi memastikan lebih ramai cakna dengan etika penggunaan Internet.
“Sabah dipilih antara lain kerana sewaktu pandemik (COVID-19), Sabah adalah negeri yang berdepan isu (infrastruktur) Internet dan kita berusaha gigih menyelesaikannya sama ada pemasangan menara, pencawang dan juga Wi-fi di kampus.
“Justeru, sesuai untuk kita teruskan program dengan meningkatkan literasi digital melalui kempen atau program Duta NADI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Duta NADI Sabah di UMS di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi berkata terdapat 131 NADI di seluruh Sabah dan Duta NADI akan diberi latihan selama dua hari untuk membantu dalam program literasi digital dan memperluas manfaat pusat itu kepada komuniti di negeri berkenaan.
Beliau berkata mahasiswa UMS yang menyertai program itu terdiri daripada pelbagai bidang pengajian dengan pemilihan dilaksanakan oleh MCMC dan pihak universiti.
Fahmi turut berharap keterlibatan pelajar dalam program berkenaan dapat menjadi platform menyalurkan cadangan penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi di Sabah.
Beliau berkata inisiatif Duta NADI itu juga akan diperluas di universiti seluruh negara dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar.
Sementara itu, MCMC memaklumkan sukarelawan yang berjaya melepasi sesi saringan akan mengikuti Bengkel Training of Trainers (TOT) selama dua hari mulai esok di UMS.
Sepanjang bengkel itu, peserta akan didedahkan dengan asas kesukarelawanan, objektif dan fungsi NADI, modul Perkhidmatan Pintar NADI serta kandungan utama Kempen Internet Selamat.
“Mereka seterusnya dilantik sebagai Duta NADI, dengan tanggungjawab menyampaikan taklimat kepada komuniti setempat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu bapa, guru serta usahawan yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program di NADI.
“Pendekatan ini membuka ruang signifikan untuk menarik penyertaan komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur untuk lebih mengenali fungsi NADI sekali gus memanfaatkan kemudahan ditawarkan secara optimum.
Menurut MCMC, sebanyak 25 NADI telah dikenal pasti dan dipadankan dengan kampung halaman 50 sukarelawan siswa UMS terpilih bagi memastikan pendekatan lebih bersifat mesra komuniti dan relevan dengan keperluan setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial