KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya perlu difahami syarikat konsesi dalam konteks usaha murni Kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat khususnya pengguna lebuh raya dalam kalangan B40.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun langkah itu memberi kesan kepada aliran tunai syarikat konsesi lebuh raya, beliau percaya objektif sebenar kerajaan akan difahami oleh semua pihak yang terlibat.
“Dari segi model perniagaan memang mereka tidak suka sebab (kenaikan) ditangguhkan kerana sejak awal mereka membuat cadangan perniagaan sudah diambil kira sekali aliran tunai.
“Kita faham dan ini memang tidak dinafikan mengganggu aliran tunai mereka tetapi saya harap mereka faham kenapa kerajaan buat keputusan seperti ini bagi ringankan beban pengguna jalan raya terutama golongan B40,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Blackspot dan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung di Kementerian Kerja Raya, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.
Nanta turut melahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat konsesi yang memberi kerjasama dan memahami keputusan kerajaan bagi membantu rakyat dalam keadaan ekonomi semasa.
Beliau berkata kerajaan juga mengambil maklum bahawa syarikat konsesi mempunyai tanggungjawab berdasarkan perjanjian yang dimeterai dan sebarang pelanggaran terhadap perjanjian itu perlu dilihat dari sudut kepentingan mereka.
“Apabila ada pelanggaran pada perjanjian ini, kita kena fahamlah dari sudut mereka sebab mereka meminjam duit pelaburan dan sebagainya dan ia perlu dibayar balik.
“Mereka ada model perniagaan, pulangan ke atas pelaburan (ROI), maka kita kena faham itu adalah tanggungjawab besar mereka. Jadi, apa sahaja kebaikan untuk semua, maka semua pihak sepatutnya bekerjasama,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya, antaranya Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
Mengenai program blackspot yang dilaksanakan kementerian, Nanta berkata ia berjaya mengurangkan kadar kemalangan antara 25 hingga 60 peratus dan sebanyak RM37 juta diperuntukkan tahun ini bagi membaik pulih dan melaksanakan tindakan mitigasi di kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara melibatkan dua fasa.
“Ini bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda tetapi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata daripada RM37 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM27.1 juta telah dibelanjakan melibatkan 76 kerja pembaikan di 11 negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Johor, Perlis, Melaka dan Pahang.
Dalam pada itu, Nanta berkata pemasangan lampu jalan di bawah program blackspot tidak melibatkan keseluruhan laluan, sebaliknya hanya tertumpu kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kemalangan berisiko tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial