WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Kawasan Terumbu Karang Di Terengganu Alami Kelunturan Paling Teruk Tahun Ini

25/07/2025 05:18 PM

Oleh Hasnah Jusid

MERSING, 25 Julai (Bernama) -- Tiga kawasan terumbu karang di Terengganu dikenal pasti mengalami kesan kelunturan paling teruk di Malaysia pada tahun ini, menurut data terbaharu berkaitan pemantauan ekosistem marin negara.

Presiden Persatuan Sains Lautan Malaysia (MSMS) Affendi Yang Amri berkata Pulau Pinang di Pulau Redang mencatatkan kelunturan 100 peratus dengan kadar kematian karang sebanyak 63.6 peratus, menjadikannya lokasi paling terjejas setakat ini.

Beliau berkata ini diikuti Pasir Besar di Pulau Lang Tengah yang merekodkan kadar kelunturan 88.7 peratus dan kadar kematian 56.8 peratus, manakala Seringgih di Pulau Perhentian mencatatkan kelunturan sebanyak 54.9 peratus dan kematian 24.9 peratus.

“Ketiga-tiga lokasi terjejas ini terletak di Terengganu yang merupakan antara negeri utama tumpuan pelancongan berasaskan marin,” katanya kepada Bernama pada program Pemulihan Terumbu Karang di Pulau Aur, Mersing baru-baru ini.

Affendi berkata suhu laut yang tinggi akibat perubahan iklim, menjadi faktor utama kepada kejadian kelunturan karang secara besar-besaran di beberapa lokasi negara tahun ini.

Beliau yang juga pakar terumbu karang berkata fenomena itu, turut direkodkan di beberapa lokasi lain termasuk di Sabah dan Johor dan disifatkan antara yang paling buruk dalam sejarah pemantauan terumbu karang negara.

“Tahun 2024 memang tahun yang sangat teruk. Suhu air laut naik terlalu tinggi dalam tempoh yang lama, menyebabkan terumbu karang menjadi stress, luntur dan akhirnya mati. Di beberapa lokasi, kadar kematian mencecah 60 peratus,” katanya kepada Bernama.

Affendi berkata pemutihan karang berlaku apabila alga yang hidup secara simbiosis dengan terumbu karang terpisah akibat tekanan haba, menyebabkan karangan kehilangan sumber makanan utamanya.

“Apabila suhu meningkat hanya satu darjah Celsius melebihi suhu normal, karang akan tertekan.

“Alga yang biasanya membekalkan sehingga 90 peratus makanan kepada karang akan meninggalkannya dan apabila alga hilang, warna karang hilang, ia kelaparan dan akhirnya mati,” katanya.

Beliau yang juga pegawai penyelidik di Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya itu berkata pemutihan karang bukan sahaja menjejaskan ekosistem marin, bahkan turut mengancam sumber makanan laut negara yang bergantung kepada ekosistem terumbu karang.

“Apabila karang mati, struktur tiga dimensi yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan turut musnah. Ini mengurangkan populasi ikan seperti kerapu dan pari yang bergantung kepada karang untuk berlindung dan membiak.

“Kita anggarkan kira-kira 40 peratus ikan yang berada di pasaran tempatan mempunyai kaitan langsung dengan ekosistem terumbu karang,” katanya.

Affendi berkata jika habitat itu terus rosak ia boleh menyebabkan bekalan makanan laut itu boleh terganggu dan berkurangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan