WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Kutuk Sekeras-sekerasnya Usul Israel Untuk Mengilhakkan Tebing Barat

25/07/2025 10:51 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-sekerasnya keputusan rejim Zionis Israel melalui Knesset (Parlimen) untuk mengilhakkan Tebing Barat yang diduduki sebagai sebahagian daripada wilayah Israel, dan menyifatkannya sebagai tindakan provokatif dan manifestasi jelas yang terang-terangan menafikan hak rakyat Palestin.

Kementerian Luar Malaysia berkata keputusan rejim pada 23 Julai itu juga merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat.

“Tindakan itu turut mencabuli beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Resolusi 242 (1967), 338 (1973) dan 2334 (2016), yang menolak sebarang usaha untuk membenarkan pendudukan haram rejim Zionis terhadap Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

“Keputusan ini merupakan satu lagi tindakan provokatif dan manifestasi jelas sikap rejim Zionis yang secara terang-terangan menafikan hak rakyat Palestin termasuklah hak untuk menentukan nasib sendiri, hak untuk kembali ke tanah air mereka serta hak untuk menentang pendudukan, sepertimana yang dijamin oleh Piagam PBB,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kementerian itu berkata tindakan agresif rejim Zionis semakin berterusan disebabkan tiada hukuman yang dikenakan ke atas perbuatan jenayahnya di OPT selama beberapa dekad. 

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB untuk menolak sekeras-kerasnya usul itu dan mengambil langkah konkrit bagi menghentikan pencabulan sistematik Israel terhadap undang-undang antarabangsa, menurut kenyataan itu. 

“Sekiranya dibiarkan berlarutan, masyarakat antarabangsa juga akan turut dipertanggungjawabkan dalam jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan semula solidariti teguh Malaysia terhadap rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri. Malaysia kekal teguh menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta keahlian penuh Palestin dalam PBB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan