LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Penganjuran sulung Festival Flora Borneo (BFF) 2025 bukan sekadar memperlihatkan keindahan flora tropika dan seni landskap.
Ia juga sebahagian strategi lebih meluas di bawah agenda reformasi Kerajaan MADANI untuk menyusun semula keutamaan pembangunan Labuan dan mengorak langkah ke masa depan ekonomi lebih inklusif dan mampan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam ucapan perasmian BFF 2025 di sini hari ini berkata festival itu bukan semata-mata untuk memeriahkan lagi kalender acara tahunan Labuan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kepelbagaian ekonomi dan pemulihan sosioekonomi.
“Labuan merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak RM87,000 pada 2024, kedua tertinggi di Malaysia ... namun seperti yang sering saya ulang, angka ekonomi ini tidak menggambarkan realiti kehidupan rakyat.
“Kebergantungan ekonomi pulau ini terhadap sektor minyak dan gas tidak seperti 10 hingga 15 tahun yang lepas,” katanya.
Dr Zaliha berkata sebagai sebahagian pendekatan reformasi kerajaan, tumpuan pembangunan di Labuan telah disusun semula dan kesannya sudah mula dirasai; KDNK per kapita Labuan meningkat sebanyak 5.4 peratus pada 2024, melepasi purata kebangsaan.
Pulau itu juga menerima lebih sejuta pelawat pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan perkembangan sektor pelancongan.
“Untuk memanfaatkan momentum itu, kita telah mempergiat tumpuan terhadap pembangunan sektor pelancongan sejak setahun lepas kerana ia lebih mampan dan dekat dengan rakyat. BFF antara pemacu utama kepada perubahan strategi ini,” katanya.
Beliau berkata impak festival itu juga menjana peluang sosioekonomi tempatan, khususnya sektor perhotelan, makanan dan perusahaan kecil.
“Kita menyasarkan 50,000 pengunjung dengan jangkaan impak ekonomi langsung sebanyak RM20 juta, selain menarik pelawat yang akan kembali dalam jangka panjang,” katanya.
Dr Zaliha berkata BFF 2025 turut memperkukuh kerjasama serantau menerusi tema ‘Strengthening Borneo Regional Cooperation.’
Festival itu menampilkan 31 pempamer landskap termasuk penyertaan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, serta Sabah dan Sarawak, selain rakan antarabangsa dari Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
“Penyertaan rentas sempadan itu mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan Borneo sebagai contoh terkini dalam pembangunan industri landskap tropika dan hortikultur serantau,” katanya.
Festival berkenaan membawa makna lebih menyeluruh bukan sekadar bunga dan landskap bahkan mencerminkan kesediaan bersama untuk memperkukuh rangkaian ekonomi, budaya dan komuniti rentas sempadan sekali gus membentuk ekosistem serantau yang saling melengkapi dan berdaya tahan.
“Kepelbagaian di rantau itu adalah kekuatan kita. BFF 2025 bakal membuka ruang baharu pertukaran ilmu, promosi pelaburan serta integrasi perdagangan serantau dalam sektor pelancongan, landskap dan hortikultur. Ia juga mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap matlamat ASEAN dan kerangka kerjasama BIMP-EAGA,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial