WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Rampas Lebih 900 Ekor Ayam Sabung Baka Filipina Di Sabah

28/07/2025 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu termasuk dua warga asing bersama 936 ekor ayam sabung baka Filipina dalam serbuan di Papar, Sabah pada Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata serbuan dilaksanakan pada 10.35 pagi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Kota Kinabalu melibatkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4.7 juta.

“Antara yang turut dirampas ialah 30 sangkar besi, 107 besi penanda ayam dari Filipina dan pelbagai jenis vitamin dan ubat-ubatan bagi kegunaan ayam berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmi berkata individu ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Filipina berusia 38 hingga 59 tahun.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen.

Menurut Azmi, serbuan di Kampung Kambizaan, Jalan Kayau Kambizaan itu dijalankan selepas Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA mendapat maklumat mengenai aktiviti penyimpanan baka ayam sabung dari Filipina tanpa lesen sah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata serbuan itu juga bagi mengekang aktiviti pemeliharaan ayam sabung dari negara jiran tanpa lesen sah dan membanteras kegiatan perjudian sabung ayam di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Azmi memaklumkan bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam, PDRM telah melakukan 179 serbuan di seluruh negara dan menahan 314 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan subsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.

"Keseluruhan jumlah rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan RM550,947,488.81," katanya.

Menurut beliau, PDRM memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki dan membanteras kegiatan berkenaan dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.

"Orang awam digalakkan memberi maklumat kepada PDRM untuk membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan