Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
ESSEN (Jerman), 28 Julai (Bernama) -- Kontinjen Malaysia berdepan detik suram di pentas Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 apabila gagal mencapai sasaran tujuh pingat yang ditetapkan, sekali gus mencatat pencapaian paling buruk sejak memenangi pingat gangsa pada edisi 2019 di Napoli, Itali.
Sejak penyertaan pada edisi 1985 di Kobe, Jepun, Malaysia menamatkan kemarau pingat dengan merangkul sebutir gangsa dalam acara taekwondo pada edisi ke-30 di Itali.
Di Jerman kali ini, daripada keseluruhan 64 atlet yang bertanding, Malaysia hanya membawa pulang satu pingat perak menerusi perenang negara Khiew Hoe Yean dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki dan satu gangsa menerusi pemain badminton perseorangan wanita Wong Ling Ching.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Datuk Prof Madya Dr Mohd Hafiz Yusoff menyifatkan keputusan itu sebagai kurang bernasib baik, apabila beberapa acara yang disasarkan menyumbang pingat gagal diterjemahkan, antaranya badminton beregu campuran dan pasukan recurve wanita.
“Namun saya berpandangan aspek teknikal, taktikal dan mentaliti atlet perlu diperkasa bagi menghadapi kejohanan bertaraf dunia seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Mohd Hafiz turut mengakui kehadiran ramai atlet bertaraf Olimpik, terutama dalam acara olahraga, menjadi cabaran besar buat kontinjen negara.
Sebagai langkah ke hadapan, beliau berkata satu sesi pascanilai akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti kelemahan serta menambah baik persediaan menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Malaysia sebelum ini mula meraih pingat di WUG pada edisi 2017 di Taiwan dengan kutipan tiga perak dan empat gangsa, sebelum mencatat pencapaian terbaik di Chengdu, China pada 2023 dengan satu emas, satu perak dan lima gangsa.
WUG 2025 yang menampilkan lebih 8,500 atlet dari 150 negara melabuhkan tirainya awal pagi tadi waktu Malaysia, menerusi majlis penutup gilang-gemilang di Landschaftspark Duisburg-Nord, Duisburg.
Jepun muncul juara keseluruhan dengan 34 pingat emas, 21 perak dan 24 gangsa, diikuti China (30-27-17), dan Amerika Syarikat (28-27-29). Sementara itu, negara jiran Thailand mengutip dua emas, empat perak dan empat gangsa.
Edisi seterusnya WUG akan dianjurkan di Chungcheong, Korea Selatan pada 2027.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial