WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Tegaskan Komitmen Dalam Usaha Jadikan Dunia Bebas Periuk Api

28/07/2025 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Malaysia, sebagai antara negara pertama di Asia yang bebas daripada periuk api, kekal komited dalam usaha advokasi global untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya semua bentuk sisa letupan peperangan (ERW).

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata Malaysia percaya sepenuhnya bahawa kemudaratan akibat periuk api jauh mengatasi sebarang manfaat ketenteraan yang mungkin dianggap berguna.

Keyakinan itu telah mendorong Malaysia untuk mengambil pendirian tegas dan secara aktif menyokong usaha global ke arah dunia bebas periuk api termasuk melalui program kerjasama pertahanan dalam mengeluarkan dan memusnahkan periuk api bersama beberapa negara.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga terus menyumbang dalam misi kemanusiaan di negara-negara yang terjejas dengan periuk api seperti Kemboja dan Bosnia.

“Walaupun benar bahawa kita kini merupakan sebuah negara yang sudah bebas daripada  periuk api, kita tetap mengekalkan tanggungjawab yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan sokongan kepada mangsa periuk api.

Di Malaysia, sokongan ini disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan, program kebajikan, peluang pekerjaan dan penjagaan kesihatan,” katanya dalam ucapan khas pada Seminar Antarabangsa Menuju Dunia Bebas Periuk Api – Kajian Kes Azerbaijan di sini, pada Isnin.

Muhamad Norazlan merujuk kepada laporan Landmines Monitor 2024 yang menyatakan sekurang-kurangnya 5,757 individu terbunuh atau cedera akibat periuk api dan sisa letupan perang di seluruh dunia pada 2023.

Di Azerbaijan sahaja, sebanyak 3,400 mangsa direkodkan dalam tempoh 30 tahun lepas dan dianggarkan sebanyak 1.5 juta periuk api masih tersembunyi.

Beliau berkata angka-angka itu bukan sekadar statistik, sebaliknya mewakili individu sebenar yang kehidupannya telah terkesan secara menyeluruh akibat senjata yang tidak mengenal sasaran itu.

Beliau berharap seminar seperti ini dapat menjadi platform untuk menggesa peningkatan bantuan antarabangsa, memperkukuh sokongan menyeluruh kepada mangsa dan mengiktiraf usaha pemusnahan periuk api sebagai komponen penting dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Resolusi 58/22 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung kesan periuk api terhadap pelaksanaan sepenuhnya semua hak asasi manusia.

Sementara itu, Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov berkata seminar yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Azerbaijan merupakan contoh hubungan mesra dan kerjasama erat antara kedua-dua negara.

Beliau percaya bahawa pengalaman Malaysia dalam menangani ancaman periuk api akan memberi nilai tambah dan manfaat besar kepada peserta seminar, termasuk dari Azerbaijan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan