WILAYAH - SARAWAK > BERITA

72 Karya Kreatif Tujuh Negara Dipamer Pada INVENTX MMU2025

29/07/2025 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Sebanyak 72 karya kreatif dari tujuh negara dipamerkan di eGalleri Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya sekali gus mengesahkan peranan Hasil Penyelidikan Bukan Tradisional (NTRO) dalam wacana akademik.

Edisi ketiga Pameran Kreatif  Antarabangsa INVENTX 2025, bertemakan Sustainaissance: Emotion. Expression. Identity, berlangsung hingga 21 Ogos dan mengetengahkan sumbangan penyelidikan berasaskan amalan dari Malaysia, Singapura, Poland, Vietnam, China, Bangladesh serta Arab Saudi.

Dianjurkan oleh Fakulti Media Kreatif MMU (FCM), edisi tahun ini paling menonjolkan kepelbagaian dan dirasmikan oleh Presiden merangkap CEO MMU Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, yang turut mendeklamasikan puisi khas pada 21 Julai lepas. 

Antara tetamu kehormat ialah tokoh akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Pro-Canselor Universiti Cyberjaya Tan Sri Dr R. Palan dan perintis animasi negara Hassan Muthalib.

Timbalan Dekan FCM merangkap Pengarah Pameran Ts Dr Vimala Perumal berkata inisiatif itu yang bermula pada 2023 sebagai usaha fakulti telah berkembang menjadi platform global dengan proses semakan rakan setara dan kerjasama antarabangsa yang kukuh.

“INVENTX Creative bukan sekadar pameran, ia adalah platform untuk landskap ekspresi, dialog identiti dan meraikan emosi. Ia membuktikan bagaimana NTRO boleh menjadi sumbangan akademik yang teliti sekali gus memperkaya pedagogi dan memupuk kerjasama global,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bernama. 

Pameran ini turut menampilkan kolaborasi dengan institusi seperti RMIT Vietnam, Universiti Putera Mohammad Bin Fahd dan Kedutaan Poland di Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan