KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Keberanian moral dan kepimpinan berprinsip Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja telah mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa, menurut Anwar Ibrahim Club (AIC).
Presiden AIC Datuk Md Yusop Harmain Shah berkata pengiktirafan terbuka daripada negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China, Jepun, Australia, Belanda, Kesatuan Eropah dan Pakistan serta rakan serantau seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Brunei membuktikan keupayaan Malaysia sebagai kuasa sederhana yang berwibawa hasil kepimpinan berintegriti dan dihormati.
“Sebagai pemimpin negara dan Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri bukan sahaja berjaya membawa dua negara jiran ke meja rundingan, malah turut mempamerkan kepimpinan berprinsip dalam menjunjung semangat diplomasi dan nilai kemanusiaan.
“Kepimpinan yang membawa suara damai, memperjuangkan keadilan dan menjunjung nilai kemanusiaan, inilah wajah Malaysia MADANI yang menjadi kebanggaan dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Md Yusop berkata pencapaian itu adalah hasil pendekatan dasar luar negara yang matang, berpandangan jauh dan berani menyuarakan kebenaran secara konsisten di pentas antarabangsa.
Sehubungan itu, AIC turut menyeru seluruh rakyat untuk terus berdiri teguh di belakang Anwar dan bersama memperkukuh suara Malaysia di pentas serantau dan dunia.
Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja yang dipengerusikan Malaysia di Putrajaya pada 28 Julai lepas berjaya membuahkan hasil positif dengan persetujuan gencatan senjata tanpa syarat telah meredakan ketegangan antara kedua-dua negara berjiran yang memuncak sejak 24 Julai lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial