KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kelegaan tiada kemalangan yang serius atau kerosakan meluas dilaporkan susulan gempa bumi besar melanda pesisir timur Rusia.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar juga memuji tindakan pantas sistem amaran awal dan pasukan respons kecemasan yang segera bertindak bagi melindungi nyawa.
“Gempa bumi besar di pantai timur Rusia merupakan antara paling kuat pernah direkodkan justeru menimbulkan kebimbangan.
“Saya melihat amaran tsunami merentasi Pasifik dengan berat hati, mengetahui betapa banyak yang dipertaruhkan bagi komuniti dari Kamchatka ke Jepun, Guam dan seterusnya.
“Ingatan saya bersama mereka yang melalui detik-detik cemas menunggu berita dan saya berharap bahaya itu telah berakhir,” katanya.
Gempa bumi besar itu mencetuskan amaran tsunami kepada jutaan orang di seluruh rantau Pasifik termasuk di Jepun, Amerika Syarikat dan Mexico.
Beberapa jam selepas gempa menggegarkan pantai timur Rusia, tiada kerosakan besar dilaporkan dan di kebanyakan kawasan, amaran tsunami ditarik balik atau diturunkan tahapnya.
Gempa bumi utama berlaku kira-kira 11.24 pagi Rabu (2324 GMT Selasa) dicatatkan pada magnitud 8.8 oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menjadikan gempa itu terkuat di dunia sejak bencana Fukushima, Jepun pada Mac 2011 dan antara enam gempa paling kuat pernah direkodkan.
Pihak berkuasa Rusia melaporkannya pada magnitud 8.7.
Menurut Akademi Sains Rusia, gempa bumi itu yang paling kuat pernah melanda Kamchatka sejak 1952. Pusat gempa terletak di laut terbuka, kira-kira 130 kilometer dari pantai yang jarang dihuni.
Beberapa gempa susulan direkodkan di rantau itu, menurut USGS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial