SINGAPURA, 2 Ogos (Bernama) -- Penerjun Malaysia Elvis Priestly Clement menempah tempat di separuh akhir 10 meter (m) platform lelaki selepas menampilkan aksi cemerlang pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di sini hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu menamatkan saingan pada tempat ke-10 daripada 48 peserta dengan memgumpul 432.90 mata selepas enam terjunan di Pusat Akuatik OCBC.
Anak jati Sarawak itu membuat penampilan sulungnya di kejohanan dunia di sini pada 26 Julai lepas dan akan bertanding pada 10 pagi esok menentang 17 peserta lain bagi merebut tempat ke final yang dijadualkan pada 5.30 petang hari yang sama.
Bagaimanapun, seorang lagi penerjun lelaki negara Enrique Maccartney Harold gagal mara ke pusingan seterusnya selepas menduduki tempat ke-37 dengan 323.45 mata dalam acara sama.
Sementara itu, perenang negara dan pemenang pingat emas Sukan SEA Phee Jinq En menamatkan saingan pada tempat ke-30 secara keseluruhan dalam saringan 50m kuak dada wanita dengan mencatat masa 31.78 saat sekali gus tidak layak ke separuh akhir.
Isnin lepas, atlet berusia 27 tahun itu menarik diri daripada acara 100m kuak dada kerana masalah pinggul dan pangkal paha.
Kejohanan bakal menutup tirai esok selepas 24 hari berlangsung yang mempertandingkan acara polo air, terjun, high diving, renang, renang artistik dan renang perairan terbuka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial