NILAI, 2 Ogos (Bernama) -- Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) optimis tampil dengan semangat baharu membina keyakinan dan tekad mahu menamatkan persepsi sebagai pasukan belasahan dalam saingan Liga Super musim ini, menerusi barisan pemain yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
Pengerusi NSFC merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau yakin pasukan bimbingan Ketua Jurulatih Nidzam Jamil itu, mampu memberikan cabaran sengit kepada mana-mana pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.
“Saya yakin dengan kepimpinan yang cekap, prestasi pasukan kali ini akan lebih mantap dan konsisten, sekali gus menjadikan mereka antara pencabar dalam Liga Super musim ini.
“Walaupun sasaran belum ditetapkan, kami pasti pasukan kali ini bukan lagi pasukan belasahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain NSFC, yang turut dihadiri Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, di sini hari ini.
Aminuddin berkata imbuhan kepada pasukan akan dipertimbangkan, sekiranya pemain mempamerkan prestasi yang positif dan profesional serta memberikan komitmen tinggi kepada pasukan.
Aminuddin berkata kedudukan kewangan pasukan ketika ini berada dalam keadaan baik, sama seperti musim lepas dan beliau berpuas hati pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawab dengan efisien tanpa sebarang masalah kewangan.
“Kita akan pastikan sokongan ini diteruskan dan pemain tidak terbeban, saya yakin pengurusan pasukan diuruskan dengan baik sehingga penghujung musim,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata rekaan jersi musim ini membawa identiti Negeri Sembilan yang menggabungkan unsur warisan, keberanian dan harapan baharu.
Kit Home musim ini, kekal dengan kombinasi warna tradisi negeri iaitu merah, kuning dan hitam dan rekaan dihiasi dengan tipografi ikonik “Ini Paroi Jangan Main” pada bahagian kolar jersi merujuk kepada Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Turut ditampilkan corak “Bunga Lada” iaitu bungan rasmi negeri itu sebagai elemen budaya memperkukuh identiti pasukan, manakala kit Away pula membawa mesej penghargaan kepada penyokong setia dengan tipografi “Sekalian Yang Setia” dilengkapkan perincian warna kuning, hitam dan merah.
Sementara itu, Tunku Syed Razman menyeru semua pihak bersatu demi kebangkitan bola sepak negeri itu menerusi perancangan strategik dan semangat kerja berpasukan, NSFC mampu melakar kejayaan yang lebih gemilang musim ini.
“Pasukan negeri ini mempunyai sejarah kegemilangan membanggakan, kita pernah menjulang trofi, menawan stadium lawan dan menjadi pasukan digeruni, sudah masanya pasukan bangkit semula,” katanya.
Pada majlis berkenaan turut memperkenalkan pemain baharu seperti Luqman Hakim Shamsuddin, Muhammad Azri Abdul Ghani, Ahmad Khuzaimi Piee (kapten), selain mengekalkan Muhammad Harith Samsuri, A.Selvan dan pemain import Takumi Sasaki (Jepun).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial