WILAYAH - UTARA > BERITA

Pelajar IPT Di Perlis Diraikan Dalam Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN 2025

02/08/2025 08:07 PM

ARAU, 2 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan sumbangan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah keseluruhan RM17,500 kepada 35 pelajar kurang berkemampuan daripada tiga institut pendidikan tinggi (IPT) di Perlis, hari ini.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu sebagai antara usaha menyokong akses pendidikan tinggi sempena Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN 2025 yang berlangsung hari ini, melibatkan pelajar daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini.

"Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara sekali beri yang akan disalurkan ke akaun bank pelajar," menurut PTPTN.

Penerima bantuan berkenaan menzahirkan syukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta PTPTN yang menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan mereka menerusi pemberian sumbangan itu.

Pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik di UniMAP Muhammad Azehan Fazilah, 24, berkata sumbangan itu menyuntik semangatnya untuk terus berusaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan akan memanfaatkan wang yang diterima untuk perbelanjaan harian di kampus.

"Saya gembira sangat terpilih menerima sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat kurangkan beban kos sara hidup," katanya.

Berkongsi pendapat sama, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di UiTM Cawangan Perlis, Nurul Fatin Fatihah Zainol Mahamud, 23, berkata pemberian sumbangan itu secara tidak langsung memberikan motivasi kepadanya untuk terus fokus belajar.

"Saya berasa bersyukur dan terharu terpilih terima bantuan ini. Saya merancang guna wang daripada bantuan ini untuk menyiapkan projek tahun akhir," katanya.

Pelajar tahun dua Diploma Teknologi Kreatif Digital Seni di PTSS, Aidil Ummar, 19, pula berkata sumbangan itu membantu perbelanjaannya selain akan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran.

Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, berkenan menyertai program kayuhan melibatkan lebih 100 peserta itu.

Program yang disempurnakan Raja Muda Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis di sini itu, turut disertai Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

PTPTN memaklumkan semasa program kayuhan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengurniakan sumbangan kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf selain sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga anak asnaf.

Selain itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah merangkumi wang tunai dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 60 pelajar.

Menurut agensi tersebut, penganjuran program kayuhan kali kedua itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Jabatan Penerangan Negeri Perlis selain badan bukan kerajaan Perlis Volunteer Action Community (PVAC)," menurut PTPTN.

Pada program sama, pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025 yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Perlis turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka. 

"PTPTN komited dalam membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan program CSR dan menyebar luas manfaat Simpan SSPN kepada komuniti," menurut PTPTN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan