WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Tidak Korban Kepentingan Nasional Untuk Layanan Istimewa - Tengku Zafrul

04/08/2025 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia tidak mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya, rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) mengekalkan keunikan dasar negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengekalan keunikan dasar negara itu termasuk perlindungan kepada industri strategik dan syarat bumiputera. 

“AS memberikan Malaysia kadar yang setara kerana pengiktirafan terhadap kepentingan Malaysia sebagai rakan dagang utama serta keupayaan Malaysia menawarkan komitmen perdagangan dan pelaburan yang berkualiti, walaupun tanpa perlu membuka sepenuhnya semua sektor. 

“Malaysia juga membuktikan kedudukan penting sebagai negara yang stabil, berdaya saing dan dipercayai dalam rantaian bekalan global,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan AS.

Tengku Zafrul berkata pencapaian kadar baharu tersebut membuktikan kalangan negara membangun seperti Malaysia boleh mendapatkan akses dagangan antarabangsa tanpa perlu tunduk kepada tekanan liberalisasi mutlak. 

“Model ini juga memberi contoh kepada negara serantau bahawa ‘red lines’ boleh dipertahankan jika negara jelas dengan nilai, strategi, dan komitmen yang ditawarkan,” katanya. 

Pada 1 Ogos, 2025, kadar tarif baharu untuk Malaysia diumumkan sebanyak 19 peratus, iaitu penurunan enam peratus daripada kadar yang diumumkan pada 7 Julai, 2025.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia dan AS dalam proses untuk mencapai persetujuan terhadap satu Kenyataan Bersama yang merangkumi hasil rundingan serta komitmen yang telah dipersetujui bersama. 

“Kenyataan tersebut akan diterbitkan dalam masa terdekat. Kedua-dua pihak juga akan meneruskan perbincangan mengenai perincian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang perlu dimeterai bagi memastikan semua komitmen dilaksanakan,” katanya. 

AS ialah destinasi eksport terbesar Malaysia dengan nilai eksport RM198.65 bilion dan menjadi antara sumber pelaburan asing utama Malaysia bagi 2024 berjumlah RM32.82 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan