WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ab Rahaman Sedia Galas Amanah, Bawa Pembaharuan Bersama Konsep 'GREAT'

04/08/2025 04:23 PM

JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Ketua Polis Johor yang baharu, CP Ab Rahaman Arsad bersedia  memikul amanah besar dalam mendepani cabaran menjaga keamanan di negeri ini selain bertekad membawa pembaharuan menerusi pendekatan kepimpinan berteraskan prinsip ‘GREAT’.

Anak jati Kulai, Johor itu berkata walaupun kali pertama berkhidmat di negeri kelahirannya, pengalaman luas dalam perkhidmatan sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan pentadbiran dan keselamatan negeri sebagai Ketua Polis Johor ke-67.

Beliau berkata fokus pentadbirannya di negeri ini akan tertumpu kepada tiga misi utama iaitu menyediakan perkhidmatan kepolisan yang profesional dan berintegriti, memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

“Tiga tumpuan ini selaras dengan hala tuju pucuk pimpinan PDRM di semua kontinjen, namun saya akan membawa nilai tambah menerusi prinsip GREAT atau G-R-E-A-T yang akan dijadikan panduan utama bagi semua warga polis Johor,” katanya pada sidang media pertamanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata konsep GREAT merangkumi prinsip Good Governance (Tadbir Urus Baik), Responsibility (Tanggungjawab), Empathy (Ehsan), Accountability (Kebertanggungjawaban), dan Tenacity of Purpose (Keteguhan Matlamat).

Mengulas cabaran keselamatan di Johor, beliau berkata kedudukan strategik negeri itu yang bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Indonesia menjadikannya pintu masuk penting negara, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan tinggi daripada seluruh pasukan PDRM.

“Johor adalah sebuah negeri yang menjadi tumpuan dari pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan politik, maka peranan PDRM amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

Beliau menyifatkan kekuatan lebih 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor sebagai aset utama dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan semasa, termasuk jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan dadah.

“Saya percaya dengan kerjasama semua ketua jabatan dan ketua polis daerah, kita mampu mengekalkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam yang tinggi di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Ab Rahaman dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk M. Kumar, 56, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan