WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Bongkar Kegiatan Pindah LPG Di Batu Gajah

06/08/2025 11:58 AM

BATU GAJAH, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan haram di Kawasan Perindustrian Bemban di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan kira-kira 6.30 petang yang dilakukan hasil intipan dan pemantauan selama seminggu, pihaknya menyita 1,899 tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg).

"Pemilik premis iaitu lelaki tempatan berusia 53 tahun dan lima lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun yang merupakan pekerja di premis terbabit turut ditahan untuk siasatan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi di lokasi terbabit di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya kesemua tong LPG itu digunakan dalam aktiviti decanting iaitu memindahkan LPG daripada tong berkapasiti 14 kg bersubsidi ke tangki.

Kamalludin berkata daripada 1,899 tong LPG itu, 871 tong didapati berisi LPG manakala 1,028 tong lagi adalah kosong.

"Turut disita ialah 18,194 kg gas petroleum cecair di dalam tangki, dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM66,508," katanya.

Kamalludin berkata hasil siasatan mendapati modus operandi pihak terlibat ialah membeli gas bersubsidi 14 kg di sekitar negeri ini dan negeri lain, seterusnya melakukan aktiviti pemindahan gas ke tangki lain untuk dihantar kepada pihak industri bagi keperluan komersial. 

"Berdasarkan harga semasa, LPG bersubsidi bagi tong 14 kg dijual pada RM1.90 sekilogram namun harga siling pasaran bagi LPG ialah RM5 sekilogram. 

"Perbezaan harga ini membuka ruang kepada sindiket mengambil untung dengan menjual gas bersubsidi kepada pihak industri pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran," katanya.

Beliau berkata premis itu yang beroperasi sejak sebulan lepas didapati tidak mempunyai dokumen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan