MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Pemilik kelab Melaka FC Datuk Nur Azmi Ahmad yakin pasukannya mampu memberikan saingan dalam Liga Super yang bakal bermula walaupun tidak berbelanja besar dengan bajet di bawah RM6 juta bagi mengharungi musim ini.
Beliau berkata komitmen dan kesepakatan gaji menjadi kekuatan utama pasukan sekali gus memastikan isu tunggakan tidak timbul malah keyakinan pemain terhadap pengurusan kekal tinggi sepanjang musim.
“Jangan bimbang tentang isu bayaran gaji kerana kita ada perancangan jelas dan pemain bersetuju dengan kaedah pembayaran, penting bagi saya memastikan pentadbiran yang betul supaya pemain tidak tertekan dengan masalah gaji.
"Pemain dibayar konsisten dua kali sebulan, malah ada yang menerima bayaran awal sebelum menandatangani kontrak penuh. Cara ini juga telah menarik minat pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan untuk menyertai Melaka FC," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu dan Pengenalan Pemain Melaka FC bagi musim 2025 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Mengulas lanjut beliau berkata Melaka FC meneruskan khidmat K. Devan sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan bagi mengharungi musim ini dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengendali berpengalaman itu untuk mencorak skuad.
Katanya walaupun beraksi dengan bajet sederhana dan tidak meletakkan sasaran tinggi namun beliau optimis dengan kemampuan Melaka FC untuk bersaing dengan kelab gergasi lain.
"Jika kita dapat menamatkan musim sekurang-kurangnya di tangga keenam Liga Super itu sudah membanggakan, kerana saingan di Liga Super sangat kompetitif dengan kehadiran pasukan yang kuat dan berpengalaman.
"Pasukan ini dibarisi bekas pemain kebangsaan, bekas pemain bawah 23 tahun negara serta pemain import gred C dan D hasil kerjasama dengan beberapa kelab luar negara yang turut membenarkan pertukaran pemain jika prestasi tidak memuaskan," katanya.
Pada majlis itu Melaka FC memperkenalkan jersi merah sebagai jersi utama dan biru cair untuk beraksi di tempat lawan (away).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial