WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MRC Perkenal Tiga Inisiatif ESG Bagi Majukan Peralihan Lestari Industri Getah

07/08/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Majlis Getah Malaysia (MRC) hari ini melancarkan tiga inisiatif utama bagi memperkukuh komitmen industri getah terhadap amalan kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Eizaaz Muhammad Redzuan berkata inisiatif berkenaan menandakan perubahan besar dalam peranan MRC.

Katanya, inisiatif-inisiatif ini meletakkan agensi itu sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan yang bertanggungjawab dan lestari selain melangkaui fungsi tradisionalnya sebagai pemangkin penggalakan eksport.

“Untuk membina momentum ini, saya berbangga mengumumkan iaitu MRC akan melancarkan tiga inisiatif kelestarian yang penting hari ini,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan ESG Industri Getah Malaysia (MREC 2025) di sini hari ini.

Inisiatif pertama iaitu 'Dana Peralihan Lestari untuk Pembangunan Industri Getah & ESG' atau Dana STRIDE yang dicipta berdasarkan Dana Pengambilan Pekerja Malaysia sedia ada oleh MRC.

“STRIDE secara khususnya menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengupah pegawai kelestarian yang berdedikasi serta mendapatkan khidmat perundingan pakar ESG selain membantu mereka beralih daripada pematuhan kepada daya saing,” katanya.

Inisiatif kedua melibatkan pelancaran satu set garis panduan dan peralatan bertajuk 'Menerajui ESG: Panduan Praktikal untuk Pengilang Getah dan Produk Getah di Malaysia.’

Muhammad Eizaaz berkata Garis Panduan ESG MRC dan Senarai Semak Kendiri menawarkan titik permulaan yang praktikal bagi syarikat yang ingin meningkatkan amalan ESG mereka selain memulakan usaha pelaporan dan bersedia menghadapi keperluan pengawalseliaan yang berkembang.

Inisiatif ketiga merupakan 'Pelan Hala Tuju Peralihan Karbon Rendah untuk Pengilang Getah Malaysia', yang direka sebagai pelan tindakan bagi syarikat untuk memulakan perjalanan penyahkarbonan mereka.

“Ia akan membantu pengilang melaksanakan langkah pengurangan pelepasan karbon yang bermakna dan akhirnya komited kepada sasaran sifar karbon yang boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga inisiatif itu secara bersama menyediakan rangka kerja yang jelas dan boleh dilaksanakan untuk syarikat kekal relevan, bertanggungjawab dan berdaya tahan seiring dengan prinsip ESG di tengah-tengah landskap global yang berkembang pesat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan