WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Malaysia Tegur Secara Terbuka MCOM Kerana Gagal Serah Penyata Beraudit

09/08/2025 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) memberi teguran secara terbuka kepada MCOM Holdings Bhd kerana gagal mengumumkan penyata kewangan beraudit (AFS) tahunan bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2024 menjelang tarikh akhir 31 Okt 2024.

Bursa Malaysia berkata MCOM didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP (LR LEAP) kerana tidak mengeluarkan penyata kewangan beraudit bersama laporan juruaudit dan pengarah dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam makuman kepada bursa, katanya sehingga kini, MCOM masih belum mengumumkan AFS 2024.

“Bursa Malaysia memandang serius pelanggaran itu memandangkan penyerahan penyata kewangan mengikut masa yang ditetapkan adalah tanggungjawab asas bagi syarikat tersenarai dan penting dalam memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities  dan perlu untuk membantu melaksanakan keputusan pelaburan termaklum,” katanya.

Menurutnya MCOM melaporkan bahawa kelewatan itu berlaku berikutan kakitangan perakaunan yang tidak cukup dan kurang berpengalaman, jumlah tenaga kerja yang tinggi serta peletakan jawatan juruaudit luarnya pada 29 Okt 2024 kerana bayaran audit yang belum diselesaikan.

"Alasan ini tidak mewajarkan penangguhan itu kerana semua syarikat tersenarai dikehendaki mempunyai dana dan sumber yang diperlukan, termasuk kakitangan kewangan dan perakaunan yang cukup dan tersedia bagi menyediakan penyata kewangan mereka dan memastikan patuh terhadap keperluan penyenaraian.

“MCOM juga gagal menunjukkan usaha yang munasabah, termasuk membayar bayaran audit tertunggak kepada juruaudit luar bagi membolehkan audit dimulakan dan AFS 2024 dikeluarkan menjelang tarikh akhir,” katanya.

Bursa Malaysia berkata prosedur nyah senarai telah dimulakan terhadap MCOM, tetapi ia telah “memutuskan untuk menangguhkan nyah senarai itu dengan syarat syarikat mengumumkan AFS 2024 pada atau sebelum 31 Ogos 2025 seperti yang dijanjikan oleh MCOM.”

Lanjutan masa itu turut mempertimbangkan bahawa MCOM telah melantik juruaudit baharu pada 21 Mei 2025, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan