SHAH ALAM, 11 Ogos (Bernama) -- Keputusan kerajaan Selangor mencadangkan acara silambam yang sebelum ini dikecualikan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menunjukkan keupayaan kerajaan negeri mengurus tuntutan masyarakat dengan penuh tanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning Preakas Sampunathan berkata keberanian pimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi serta semua ahli mesyuarat kerajaan membuat perubahan itu pastinya akan memberi manfaat jangka panjang kepada sukan silambam serta masyarakat secara keseluruhan.
Beliau berkata komitmen kerajaan negeri mendengar suara rakyat, meneliti cabaran yang dihadapi serta mengambil langkah penyelesaian yang berkesan adalah bukti kepimpinan yang berpaksikan keterangkuman dan semangat kesukanan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan serta semua exco kerajaan negeri atas kepimpinan berwibawa dan tindakan proaktif dalam memastikan hasrat memasukkan sukan silambam pada temasya SUKMA 2026 dapat direalisasikan.
“Kerajaan negeri dengan jelas telah membuktikan perkara ini berakar pada semangat kesukanan yang murni dan nilai-nilai sukan yang tinggi, bukannya untuk menimbulkan perpecahan atau sentimen perkauman seperti yang cuba ditokok tambah oleh pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Preakas juga yakin kepimpinan seperti itu akan terus memacu perkembangan sukan di Selangor, sekali gus mengangkat negeri berkenaan sebagai contoh terbaik kepada negeri-negeri lain dalam memajukan sektor sukan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Menteri Digital Gobind Singh Deo atas bantuan dan dedikasi mereka dalam menyelesaikan perkara itu dengan lebih profesional dan berlandaskan semangat kesukanan.
Pada 5 Ogos, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dipengerusikan Yeoh mengumumkan senarai muktamad 34 jenis sukan yang wajib dipertandingkan pada temasya itu termasuk empat sukan tambahan yang baharu diluluskan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi.
Pengumuman itu menimbulkan kritikan oleh segelintir pihak kerana mengecualikan acara silambam.
Susulan itu, pada Jumaat lepas Mohd Najwan mengumumkan kerajaan Selangor bersetuju mencadangkan silambam antara tiga sukan tambahan untuk dipertandingkan pada SUKMA 2026.
Selain seni bela diri tradisional kaum India itu, kerajaan negeri turut mencadangkan acara petanque dan Muay Thai juga dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial