WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Graduan IPDAS Duta Agama, Perlu Sentiasa Jaga Nama Baik Sabah - Tun Musa

11/08/2025 02:46 PM

KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata graduan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) adalah duta agama, waris perjuangan dakwah dan harapan masyarakat.

Justeru, Tun Musa mengingatkan agar mereka sentiasa menjaga nama baik negeri Sabah walau di mana mereka berada kerana akhlak dan ilmu yang telah diperoleh daripada IPDAS menjadi cahaya yang menerangi masyarakat sekelilingnya.

“IPDAS telah berjaya membekalkan asas dan kefahaman tersebut sekali gus melahirkan pendakwah yang mampu menyantuni masyarakat dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin  Mohd Arif.

Tun Musa berkata sejak ditubuhkan 46 tahun lepas, IPDAS memainkan peranan amat besar dalam menyuburkan syiar Islam di bumi Sabah kerana kejayaan institut itu melahirkan pendakwah yang berkualiti tinggi dan menabur bakti di pelusuk negeri yang terkenal dengan kepelbagaian etnik, budaya serta bahasa.

Pada masa sama, Tun Musa juga mengingatkan graduan bahawa kejayaan yang dikecapi pada hari ini bukanlah hasil usaha sendiri semata-mata tetapi juga pengorbanan ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan yang memberi sokongan moral mahupun material.

Beliau turut menzahirkan rasa sukacita melihat perkembangan pesat yang dilalui oleh IPDAS dari aspek pembangunan fizikal dan akademik sekali gus memberi impak positif kepada persekitaran kampus yang lebih selesa dan sejahtera.

“Usaha ibu bapa yang bersusah-payah dan berkorban demi melihat anak-anak mereka berjaya kerana mereka menyedari di penghujung usaha itu, terselit keberkatan dan kemuliaan yang tidak ternilai harganya.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sentiasa komited membantu dalam pembangunan IPDAS dan memartabatkan syiar Islam di Sabah secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan