PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia komited terhadap pembentukan masa hadapan berteraskan inovasi yang inklusif, mampan serta dipacu bakat dan kreativiti, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata Ekspo 2025 Osaka di Jepun, merupakan platform strategik bagi memperkukuh jaringan kerjasama khususnya antara Malaysia dan Jepun, ke arah pembangunan masa depan digital yang kolektif.
Gobind berkata demikian di dalam ucapannya ketika melancarkan Minggu Kementerian Digital di Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos bersempena minggu ke-18 pameran itu.
Bertemakan Weaving a Future in Harmony, Minggu Kementerian Digital itu dirasmikan Gobind secara dalam talian.
Penyertaan rasmi kementerian berkenaan diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menonjolkan keupayaan dan potensi negara dalam bidang teknologi kreatif merangkumi animasi, permainan digital, teknologi imersif dan pembangunan kandungan asli berasaskan harta intelek (IP) tempatan.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Unbound dan Universiti Kebangsaan Malaysia, untuk memperkasakan literasi digital dan pembangunan belia melalui latihan kecerdasan buatan (AI) dan TVET, serta pembelajaran gamifikasi menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR).
Inisiatif itu turut merangkumi penyelidikan dasar dan etika AI, dengan sokongan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Kewangan.
Sepanjang minggu ini, 14 syarikat kreatif digital tempatan akan diketengahkan melalui pameran dan aktiviti interaktif seperti demonstrasi permainan dan animasi, pengalaman realiti maya, perarakan maskot, segmen pocket talk serta sesi padanan perniagaan.
Pengunjung juga berpeluang mencuba permainan digital No Straight Roads hasil karya syarikat tempatan Metronomik, yang kini bekerjasama dengan penerbit terkenal Jepun Shueisha Games, bagi membangunkan No Straight Roads 2.
Kerjasama itu menjadi kesinambungan kepada IP tempatan, sekali gus membuktikan potensi kandungan kreatif Malaysia pada peringkat global.
Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka menjadi platform antarabangsa untuk mempamerkan keupayaan ekosistem digital negara, menonjolkan bakat pencipta kandungan tempatan, memperluas rangkaian kerjasama strategik dan meningkatkan potensi pelaburan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital.
Selain itu, ia juga memperkukuh keterlihatan negara sebagai peneraju transformasi pendigitalan di Asia Tenggara ke arah mencapai aspirasi sebagai hab industri digital terpenting di rantau ini.
Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt, menjadi platform antarabangsa untuk mempamerkan kekuatan ekonomi, keupayaan teknologi dan identiti budaya negara.
Sepanjang enam bulan pameran, ia menyasarkan pelaburan sebanyak RM13 bilion, dengan penglibatan 21 kementerian persekutuan serta kira-kira 70 jabatan dan agensi kerajaan, menjadikannya usaha kolaboratif menyeluruh untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial