Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan kenaikan kukuh bagi hari kelima berturut-turut pada Isnin, melepasi paras rintangan 1,560, disokong oleh minat baharu pelabur terhadap pusat data serta petunjuk positif daripada rundingan perdagangan geopolitik.
Prestasi baik itu, sejajar dengan pasaran serantau, turut disokong oleh keyakinan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) akan datang.
Bagaimanapun, pelabur masih berhati-hati menjelang tarikh akhir tarif AS-China pada 12 Ogos ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.26 mata atau 0.40 peratus untuk ditutup kepada 1,563.24 daripada 1,556.98 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.76 mata lebih tinggi kepada 1,557.74 dan bergerak antara 1,554.95 hingga 1,565.44 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 480, manakala 510 kaunter tidak berubah, 1,020 kaunter tidak didagangkan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.54 bilion unit bernilai RM2.20 bilion daripada 2.43 bilion unit bernilai RM2.22 bilion pada Jumaat lepas.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata Malaysia berkedudukan strategik untuk pengembangan besar dalam sektor pusat data pada separuh kedua 2025.
Beliau berkata keadaan itu didorong oleh aktiviti pembinaan yang sedang dilakukan serta aliran masuk modal berskala besar ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Beberapa pengendali hiperskala global, khususnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), sedang menerajui pertumbuhan ini.
“Walaupun kemungkinan sekatan AS ke atas eksport cip kecerdasan buatan kekal sebagai risiko utama, kami menjangkakan kitaran meningkat bagi pusat data secara keseluruhannya kekal utuh memandangkan permintaan struktur yang kukuh,” katanya kepada Bernama.
Dari sudut geopolitik, Mohd Sedek berkata dua perkembangan utama yang menjadi tumpuan ialah tarikh akhir tarif AS-China pada Selasa, serta sentimen global yang didorong penurunan harga minyak mentah dan optimisme terhadap pertemuan Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin di Alaska, pada 15 Ogos, 2025.
Mengenai tarikh akhir tarif AS-China, Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick memberi isyarat pada Khamis lepas bahawa lanjutan tempoh 90 hari ke atas gencatan tarif adalah berkemungkinan -- petunjuk paling jelas setakat ini adalah penangguhan sementara sejak rundingan dua hala ditamatkan di Stockholm minggu lepas.
Sidang kemuncak Trump-Putin berpotensi membuka ruang kepada kemajuan dalam menyelesaikan perang di Ukraine, katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM9.65, Public Bank meningkat 7.0 sen kepada RM4.40, CIMB menokok 8.0 sen kepada RM6.94, manakala Tenaga Nasional susut 14 sen kepada RM13.66 dan IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.96.
Bagi kaunter paling aktif, Classita dan Mtouche Technology masing-masing naik 1.0 sen kepada 9.0 sen dan 2.0 sen, Top Glove meningkat 1.5 sen kepada 61 sen, NexG merosot 16 sen kepada 37.5 sen, dan Tanco susut 2.0 sen kepada 74.5 sen.
Bagi pasaran lebih meluas, Indeks FBM Emas meningkat 45.34 mata kepada 11,647.13, Indeks FBMT 100 menokok 49.81 mata kepada 11,429.72, Indeks FBM Emas Syariah menambah 13.49 mata kepada 11,647.67, Indeks FBM ACE naik 13.34 mata kepada 4,620.22, dan Indeks FBM 70 melonjak 90.11 mata kepada 16,595.64.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 147.01 mata kepada 17,727.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.02 mata kepada 158.78, dan Indeks Perladangan menambah 37.96 mata kepada 7,464.08, manakala Indeks Tenaga susut 1.36 mata kepada 735.36.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.52 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 1.46 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran turut menokok kepada 732.96 juta unit bernilai RM90.85 juta daripada 715.60 juta unit bernilai RM89.04 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula naik kepada 279.82 juta unit bernilai RM90.63 juta daripada 250.96 juta unit bernilai RM92.31 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 261.84 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (187.11 juta), pembinaan (127.58 juta), teknologi (372.25 juta), perkhidmatan kewangan (76.72 juta), hartanah (145.70 juta), perladangan (20.83 juta), Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) (41.06 juta), dana tertutup (44,500), tenaga (80.55 juta), penjagaan kesihatan (114.26 juta), telekomunikasi dan media (18.25 juta), pengangkutan dan logistik (16.79 juta), utiliti (59.43 juta), dan amanah perniagaan (169,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial